UMNO Parti Saya, Takkan Maafkan Najib Kerana Hancurkannya – Mahathir

- Advertisement -

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan memaafkan Datuk Seri Najib Tun Razak sampai bila-bila kerana didakwa telah menghancurkan UMNO.

Mahathir yang bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menentang UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), juga mendakwa Najib telah menyebabkan orang membenci UMNO.

“Saya tak boleh maaf orang yang menghancurkan parti saya, sampai orang benci kepada UMNO.

“Masa pilihan raya dulu Pak Lah (Abdullah Badawi) menang lebih daripada saya, namun sekarang orang tolak Pak Lah, orang tolak Najib, pencapaian Najib lebih teruk daripada Pak Lah

“Orang yang menghancurkan UMNO saya tak boleh maaf, sampai bila-bila,” kata Dr Mahathir, dipetik dari wawancara MalaysiaGazette.

Pada PRU14 lalu, Mahathir yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau Bersatu) telah bekerjasama dengan musuh tradisi UMNO seperti DAP, PKR serta Amanah dan berjaya membentuk kerajaan PH selepas menumbangkan BN.

Selepas menang PRU14 itu, beliau telah beberapa kali mendakwa UMNO dan BN sudah mati hanya tinggal nama kerana ramai pemimpin dan ahlinya melompat menyertai Bersatu.

“Sudah habis, yang ada UMNO, pada nama saja, UMNO pun dah hancur, banyak ahli minta nak masuk Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu, yang tinggal itu nak jalan pun tak larat dah,” kata Mahathir semasa berkempen untuk calon Bersatu/PH di PRK Semenyih pada Mac 2019, di mana PRK itu kemudiannya dimenangi calon UMNO/BN dengan majoriti besar.

Mahathir meletakkan jawatan PM7 pada 24 Februari tahun ini, kira-kira tiga bulan selepas calon Bersatu yang mewakili PH kalah kepada BN dalam PRK Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Serentak dengan peletakan jawatan PM itu juga menyaksikan Parti Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama sekumpulan pemimpin PKR berpaling tadah dan telah mengadakan kerjasama dengan UMNO, BN, PAS dan GPS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional menggantikan kerajaan PH yang tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Awal Ogos tahun ini Mahathir mengumumkan penubuhan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang menurutnya bertujuan menggantikan UMNO dan Bersatu yang beliau dakwa telah tersasar matlamat perjuangan.

Beliau melantik anak lelakinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden Pejuang sementara beliau sendiri sebagai Pengerusi parti.

Mahathir bagaimanapun mengkritik keras apabila bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu menubuhkan parti baru yang berasingan dari parti Pejuang, langkah yang menurut Mahathir menunjukkan orang Melayu tidak bijak berpolitik.

“Habislah jadinya bila banyak parti, saya selalu cakap benda ni banyak kali, orang Melayu tak bijak dalam politik.

“Dia pegang kuat kepada parti, lepas itu kalau dia tak dapat (sesuatu), dia buat satu parti (baru), tak dapat (juga) buat satu parti,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat