Norfatihah Yusof raih RM40,000 menerusi karya ‘Unharvested Futures’dalam BMS29

Oleh Zihan Zari

LANGKAWI – Penggiat seni visual, Norfatihah Yusof yang menghasilkan karya berjudul ‘Unharvested Futures: Voices of The Field’ yang mengetengahkan isu komuniti dan pertanian di sawah padi Pulau Tuba, Langkawi berjaya meraih Anugerah Utama Pertandingan Bakat Muda Sezaman Edisi ke -29 (BMS29).

Beliau berjaya membawa pulang wang tunai RM 40,000 dalam pertandingan yang berprestij itu merupakan seorang yang aktif menghasilkan karya berkaitan dokumentasi visual dan kehidupan.

Karya Norfatihah begitu menyerlah dari segi kekuatan idea berjaya memberikan impak menyeluruh terhadap komuniti setempat menerusi pendekatan yang dekat dengan kehidupan, persekitaran dan suara masyarakat tempatan.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata Majlis Anugerah Utama bagi Pertandingan BMS29 yang dirasmikan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff, di Balai Seni Negara Langkawi, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Prof. Madya Dr. Jalaini Abu Hassan; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.

“Selain Anugerah Utama, sebanyak empat Anugerah Juri turut disampaikan kepada Aiman Yusri Mohamad Yusoff, Khairul Ehsani Sapari, Muhammad Ismail Rahim serta Lim Xiao Mun & Helmi Azam Tajul Urus.

“Masing -masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 atas pendekatan artisti serta penerokaan karya yang diketengahkan menerusi BMS29, ”kata kenyataan itu.

Katanya, sembilan Anugerah Harapan turut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap potensi dan kualiti karya yang dipamerkan.

“Panel juri BMS29 terdiri daripada pakar berpengalaman dari dalam dan luar negara iaitu Kurator, dan Ketua Pengarah Echigo-Tsumari Art Triennale, Jepun, Fram Kitagawa; Pensyarah di Institut Teknologi Bandung, Jawa Barat, Indonesia, Dr. Agung Hujatnikajennong; serta Timbalan Pengarah, Institut Seni Kreatif dan Teknologi (iCreaTe), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Mohamad Faizuan Mat, yang masing-masing mempunyai kepakaran luas dalam bidang seni dan kuratorial,”katanya lagi.

Ujarnya, BMS merupakan pertandingan seni berprestij anjuran Balai Seni Negara yang telah diperkenalkan sejak tahun 1974 dan terus menjadi platform penting dalam mencungkil, mengiktiraf serta mengangkat bakat seniman muda kontemporari Malaysia.

“BMS29 tampil dengan pendekatan ‘Lokasi Spesifik’ (Site-Specific), dengan Langkawi dipilih sebagai latar utama pengkaryaan. Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk menghasilkan karya yang berakar daripada sejarah, budaya, ekologi serta naratif masyarakat setempat, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, sebanyak 21 penyertaan akhir dengan 16 karya berjaya dipamerkan di tapak lokasi pada edisi kali ini, yang menampilkan pelbagai pendekatan seni kontemporari melalui eksplorasi idea, medium dan naratif yang berbeza.

“Antara lokasi yang terlibat ialah Pasar Awam Kuah, Pantai Taman Lagenda, Jeti Pulau Tuba, bangunan terbiar bersebelahan tapak Bazaar Ramadhan Kuah, Hospital Lama Kuah, Bendang Padi Pulau Tuba, Kedai Perkhidmatan Dobi Pulau Tuba, Taman Rekreasi Tasik Teluk Kedak, Dataran Lang dan Jetty Point.

“Karya-karya yang dihasilkan merangkumi pelbagai medium termasuk instalasi, media campuran, digital, persembahan dan interaktif, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pendekatan seni kontemporari dalam menghayati ruang dan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, BMS29 bukan sahaja menjadi platform pertandingan, malah menghidupkan ruang awam sebagai medan apresiasi seni yang lebih inklusif bersama komuniti setempat,”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Balai Seni Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Jabatan Perumahan Negara, Japan Foundation Kuala Lumpur, Jetty Point Langkawi, Langsura Geopark Sdn. Bhd., The RIYAZ Lavanya Langkawi, Bon Ton Locale, BESTUBA.

Selain itu, penduduk Pulau Tuba dan
seluruh komuniti yang terlibat, atas segala sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan penganjuran BMS29.

Balai Seni Negara berharap BMS akan terus menjadi platform penting dalam
memperkasa pembangunan seniman muda serta memperkukuhkan landskap seni negara di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pameran karya-karya BMS29 kini dibuka kepada orang awam sehingga 26 Julai ini dan untuk maklumat lanjut, sila layari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat