Hutan simpan Lenggor & Mersing simpan khazanah biodiversiti bertaraf antarabangsa

Oleh Zihan Zari

MERSING – Hutan Simpan (HS) Lenggor dan HS Mersing di Johor terbukti menyimpan khazanah biodiversiti bertaraf antarabangsa apabila pelbagai spesies flora dan fauna unik berjaya direkodkan menerusi Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) HS Lenggor dan HS Mersing dari 18 hingga 22 Mei lalu.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu menghimpunkan seramai 78 orang penyelidik dan pakar biodiversiti daripada institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi antarabangsa termasuk Copenhagen Zoo Malaysia.

Kawasan HS Lenggor dan HS Mersing masih mempunyai potensi besar sebagai pusat penyelidikan biodiversiti negara serta menyimpan banyak khazanah alam yang belum diterokai sepenuhnya, kata Pengarah Perhutanan Johor, Mohd Syahrir Azrin Salleh.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Eksplorasi Biodiversiti di CFS Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing , Johor di Politeknik Mersing, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, wakil rasmi Pegawai Daerah Mersing, Mohd Izwan Jamigeo; Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani; Pengarah Politeknik Mersing, Ts. Dr. Robert @ Kerk Swee Tian; dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Penerbitan) UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar (Ketua Eksplorasi Biodiversiti).

Menurut Mohd Syahrir Azrin, eksplorasi ini berjaya merekodkan pelbagai spesies flora dan fauna penting termasuk tumbuhan karnivor, orkid liar, tumbuhan herba, tumbuhan akuatik, serangga, amfibia, reptilia, burung dan mamalia liar yang menjadi indikator utama kepada keseimbangan ekosistem hutan tropika negara.

“Antara spesies yang berjaya direkodkan termasuk Nepenthes rafflesiana, Nepenthes gracilis, Scaphochlamys johorensis, Bulbophyllum macranthum, Kuang Raya (Great Argus), Enggang Badak (Rhinoceros Hornbill), Tapir Malaya (Tapirus indicus) serta Beruang Matahari (Helarctos malayanus).

“Penemuan ini memperlihatkan kepentingan HS Lenggor dan HS Mersing sebagai habitat penting biodiversiti bernilai tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,”katanya.

Katanya lagi, eksplorasi ini turut menjadi platform kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik dan komuniti setempat dalam memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti negara.

“Pelancaran inisiatif Sahabat CFS melibatkan sembilan buah kampung di daerah Kluang dan Mersing turut diadakan sebagai usaha memperkukuh penglibatan komuniti setempat dalam pemeliharaan rangkaian ekologi negara.

“Penduduk setempat akan berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam membantu melindungi khazanah hutan negara daripada ancaman pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar, ”ujarnya.

Ujarnya lagi, menerusi hasil penemuan dan penyelidikan daripada eksplorasi ini, JPSM akan menerbitkan dalam bentuk prosiding dan buku dokumentasi biodiversiti bagi menyokong penganjuran Seminar Eksplorasi Biodiversiti CFS Lenggor-Mersing yang dijangka diadakan pada tahun 2027.

“Penganjuran eksplorasi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pengurusan hutan secara lestari, memperkukuh konservasi biodiversiti serta menjadikan CFS sebagai aset strategik negara yang perlu dipelihara demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

“Ini merupakan inisiatif yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pendekatan pemuliharaan yang inklusif dan berteraskan komuniti demi memastikan kelestarian ekosistem negara terus terpelihara, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, usaha sebegini bukan saja mendatangkan faedah kepada jabatan mahupun kerajaan negeri malah memberi manafaat kepada pelbagai pihak terutamanya masyarakat setempat dan juga termasuk para penyelidik untuk menjalankan kajian dan penyelidikan secara berterusan.

Terdahulu, Letter of Intent (LoI) Living Lab Central Forest Spine Lenggor dimeterai di antara UTHM bersama JPNJ, ia merupakan kerjasama strategik yang dijangka memperkukuh penyelidikan, dan pendidikan, inovasi serta pembangunan kapasiti berkaitan pemuliharaan biodiversiti negara.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat