Anwar Tolak Parti Pejuang, Takkan Saya Nak Sokong Dia? – Mahathir

- Advertisement -

LANGKAWI – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan dakwaan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan kerana pengumumannya itu boleh memberi kesan kepada pelaburan, perniagaan serta kestabilan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pelabur akan rasa keadaan tidak menentu apabila hari ini kerajaan lain, esok kerajaan lain pula, lusa tukar kerajaan lain lagi. Saya harap kalau Anwar ada (majoriti) buktikan bahawa dia betul-betul mempunyai cukup bilangan dan kita putuskan perkara itu.

“Tunjuk bukti dan kita sanggup pergi ke Dewan Rakyat nak dengar siapa yang dapat sokongan dan siapa yang tidak mendapat sokongan,” kata bekas Perdana Menteri itu kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Pengerak Pelancongan dan Pengusaha Hotel Langkawi, di sini hari ini.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, dalam sidang media Rabu lepas mendakwa telah mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

“Anwar dulu pernah buat dakwaan dia ada majoriti, sama juga selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri apabila Yang di-Pertuan Agong minta nyatakan pendirian, dia (Anwar) dakwa ada majoriti sehingga Pakatan Harapan (PH) beri namanya kerana anggap ada majoriti tetapi tidak cukup sebab memang tak ada pun majoriti,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkannya akan menyokong Anwar sekiranya memiliki majoriti, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata: “Anwar dah tolak Pejuang (semasa pengumuman baru-baru ini)…dia kata ada majoriti kecuali Dr Mahathir.

“Jadi saya ini ditolak terus. Jadi macam mana saya nak sokong dia? Dia dah tolak kita awal-awal lagi,” katanya.

Sementara itu di Seremban, Pengerusi Parti Bersatu Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith agak senada dengan Dr Mahathir, apabila mengatakan bahawa Anwar perlu mengemukakan bukti kukuh sekiranya benar beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi menukar kerajaan sedia ada.

“Saya tak tahu apa asasnya dakwaan itu dibuat tetapi saya tengok beliau (Anwar) hanya berseorangan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) sahaja. Sekiranya dibuktikan barulah kita terima. Dakwaan sesiapa pun boleh buat dakwaan,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) kali ke-7 di sini, hari ini.

Beliau juga berpandangan bahawa dalam keadaan negara sedang bekerja keras memerangi pandemik COVID-19, sekarang bukan masa yang sesuai untuk pertukaran dalam pentadbiran kerajaan.

Di Kulai, Johor pula Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran juga menyifatkan situasi negara ketika ini yang sedang berhadapan dengan cabaran COVID-19, menjadikan masanya tidak sesuai untuk sebarang pertukaran kepimpinan kerajaan, atau pilihan raya umum (PRU).

“Negara kita kini mempunyai rekod positif berhubung pengendalian kes COVID-19. Jadi jika ditanya adakah sekarang masa sesuai untuk mengadakan PRU, jawapan saya adalah tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MIC Johor yang turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan di sini, hari ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat