Wani trauma kena buli siber

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Insiden menjadi mangsa buli siber menyebabkan penyanyi, Wani Kayrie, 20, lebih berhati-hati dalam memuat naik entri dalam laman sosial.

Wani atau nama sebenar, Syazwani Abdullah berkata, perkongsian klip video tarian dengan wajah disolek hitam menerusi aplikasi TikTok yang dianggap sekadar hiburan pernah menjadi kecaman hebat netizen, sekali gus memberi pengajaran besar buatnya.

“Insiden ini membuatkan saya menapis kandungan yang mahu dimuat naik terlebih dahulu. Jujurnya, ia memberi impak dari segi emosi. Ketika kejadian saya masih terikat dengan penggambaran drama Dayang Senandung. Saya meminta pengurus membatalkan penggambaran kerana mahu menarik diri.

“Mana tidaknya, video ini tersebar luas hingga ke luar negara. Saya sedih apabila mengetahui orang Malaysia juga yang menyebarkan video ini. Bukan mereka tidak tahu Dayang Senandung adalah cerita rakyat,” katanya kepada BH Online.

Wani berkata, dia terpaksa mendiamkan diri dan tidak aktif dalam laman sosial buat seketika.

“Saya mendiamkan diri dalam tempoh seminggu. Tidak hanya mengelak membuka laman sosial, insiden ini membuatkan saya takut keluar rumah mahupun ke universiti kerana ada pelajar yang menyindir saya.

“Lebih menyedihkan apabila ada pihak meminta universiti membatalkan biasiswa dan membuang saya disebabkan perkara ini. Saya terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, lama kelamaan isu ini lenyap. Saya bersyukur ramai netizen memahami keadaan saya. Saya juga mengharapkan perkara ini tidak berlanjutan hingga memberi kesan pada tayangan drama hujung tahun ini,” katanya.

 

Video wajah disolek hitam yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok mendapat kecaman netizen seluruh dunia.
Video wajah disolek hitam yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok mendapat kecaman netizen seluruh dunia.

 

Sebelum ini, Wani pernah mencetuskan kontroversi apabila dituduh tidak sensitif dan bersikap perkauman melalui video yang dirakamkan ketika menjalani penggambaran drama, Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd pada Jun lalu.

Wani yang kini dalam rangka promosi single terbaharu berjudul Aksara Cinta berkata, karya ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu mengetengahkan kekuatan vokalnya.

“Sebelum ini, saya lebih kepada lagu bergenre pop, tetapi berbeza dengan single Aksara Cinta. Saya tampil berbeza apabila lebih mengetengahkan keupayaan vokal.

“Disebabkan itu, saya memilih Hael dan Ezra sebab saya tahu mereka boleh mengubah genre yang sinonim dengan saya, daripada genre pop ke sesuatu yang lebih segar.

“Alhamdulillah, mereka berjaya dan boleh dikatakan saya jatuh cinta dengan single ini. Tambah lagi, lirik lagu ini puitis, membuatkan saya yakin dengan single Aksara Cinta,” katanya yang kali terakhir menghasilkan single tahun lalu menerusi lagu Magika.

Bagaimanapun, Wani berkata, dia agak gementar menerima maklum balas pendengar memandangkan kali pertama video muzik tidak membabitkan tarian.

“Single Aksara Cinta dan video muzik akan dilancarkan secara rasmi pada hari ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat