JOHOR BAHRU — Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor membuat kejutan apabila membubarkan Dewan Negeri Johor ke-15 berkuat kuasa hari ini, kira-kira 10 bulan lebih awal sebelum tamat penggal pada April 2027.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Johor selepas beliau menghadap Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, pada 1 Jun 2026.
Menurut beliau, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim telah diperkenankan atas titah perkenan Pemangku Sultan Johor.
“Sehubungan itu, atas titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim yang ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata, pembubaran itu selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Langkah tersebut sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Dewan Negeri Johor ke-15 sebelum ini bermula selepas Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022 dan sepatutnya tamat penggal sekitar April 2027.
Menteri Besar berkata, keputusan pembubaran dibuat bagi memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
Beliau turut menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong supaya menghadapi proses demokrasi itu dengan penuh adab, tertib dan berhemah.
“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemuafakatan Bangsa Johor,” katanya.



