Gopal Ram Dakwa Silap Taip, Najib Geleng Kepala Pendakwa Tukar Lagi Pertuduhan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan mengejutkan mahkamah hari ini apabila menyatakan berlaku kesilapan menaip (typo) perkataan dalam kes perbicaraan Datuk Seri Najib Razak.

Ini bukan kesalahan kali pertama tetapi sudah dua kali terjadi.

Namun Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetap mengatakan kesilapan tersebut tidak begitu ‘besar’ sebaliknya hanya kesalahan perkataan sahaja.

Tegas Gopal Sri Ram, pertuduhan tetap sama terhadap Najib dan itulah yang sepatutnya diberikan fokus utama.

Malah kata peguam itu, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhujah dengan pasukan pembelaan berhubung perkara itu pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit membantah dan seolah-olah tidak percaya isu ini dipandang begitu mudah walhal perbicaraan yang sudah masuk hari ke-11 hari ini juga sudah dibicarakan selama berbulan-bulan.

Pelbagai saksi pendakwaan juga sudah tampil memberikan keterangan panjang lebar berhubung pertuduhan tersebut.

“Ini bukanlah isu ‘typo’ sahaja, ianya melibatkan elemen penting dan bukanlah sekadar ejaan sahaja. Sepatutnya pertuduhan yang dikemukakan itu spesifik dan jelas dari awal lagi.

“Sepatutnya keadilan sangat diperlukan dalam konteks ini, ianya juga perlu tegas dan jelas bagi membolehkan yang tertuduh itu membela diri. Ini soal kebebasan seseorang.

“Pada awal pertuduhan sudah di nyatakan Najib salah guna kedudukan dan menyebabkan pindaan laporan audit 1MDB yang telah disediakan oleh Ambrin Buang sebelum dibentang kepada PAC.

“Sekarang mereka dakwa lain pula, AG telah muktamadkan laporan audit itu dan mendakwa ianya dipinda selepas itu,” tegasnya.

Najib ketika keluar selepas penangguhan perbicaraan kelihatan beberapa kali menggeleng kepala tidak percaya dengan apa yang berlaku sebentar tadi ketika perbicaraan melibatkan dirinya serta bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda.

MalaysiaGazette difahamkan ketika mendakwa Najib pada awal-awal kes oleh pendakwaan, tuduhan ke atas seperti berikut;

“Najib telah mengarahkan laporan akhir audit yang ‘sedang’ disediakan ‘sebelum’ ianya dimuktamadkan dipinda,”.

Namun pada hari pertama perbicaraan, pendakwaan meminda tuduhan perbicaraan kepada;

“Najib telah mengarahkan laporan akhir audit yang ‘telah’ disediakan ‘sebelum’ ianya dimuktamadkan, dipinda,”.

Bagaimanapun setelah hampir berbulan perbicaraan, kini pendakwaan memohon mahkamah meminda tuduhan sekali lagi dan menjadi;

“Najib telah mengarahkan laporan akhir audit yang ‘telah’ disediakan ‘selepas’ ianya dimuktamadkan, dipinda.

Seandainya terdahulu ada ‘typo’ sebelum kini mahu ianya dalam kertas pertuduhan rasmi dipinda kepada ‘selepas’.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan 24 Jun ini bagi mendengar hujah kedua-dua belah pihak sebelum cuba membuat keputusan pada hari sama adakah kebenaran meminda seperti yang di minta pendakwaan boleh dilakukan.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat