JOHOR BAHRU – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Alwiyah Talib mengumumkan meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO, sekali gus menjadi antara pemimpin kanan Bersatu Johor terbaru berbuat demikian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Alwiyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau sebelum DUN dibubarkan membuat pengumuman melepaskan semua jawatan dalam Bersatu dan mengambil keputusan kembali menyertai UMNO.
Perkembangan tersebut dilihat sebagai satu tamparan kepada Bersatu Johor memandangkan beliau bukan sahaja merupakan Ketua Srikandi Bersatu Johor, malah baru dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing pada Mac lalu.
Alwiyah sebelum ini merupakan antara pemimpin wanita paling lantang mempertahankan kepimpinan Bersatu Johor ketika parti itu berdepan krisis dalaman susulan konflik kepimpinan yang melanda parti berkenaan.
Pada Mac lalu, beliau selaku Ketua Srikandi Bersatu Johor menegaskan sayap wanita parti itu kekal berdiri teguh di belakang kepimpinan Bersatu dan melihat peletakan jawatan beberapa pemimpin sebagai peluang untuk memperkukuh organisasi parti.
Beliau bukan nama asing dalam politik Johor. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket UMNO sebelum bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu pada 2018 bersama beberapa pemimpin UMNO Johor yang lain.
Dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022 pula, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau atas tiket Bersatu yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 3,041 undi.
Pengumuman Alwiyah kembali menyertai UMNO hadir pada saat Johor sedang bersiap sedia menghadapi PRN selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 1 Jun lalu.
Tindakan beliau dijangka memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Parlimen Mersing memandangkan Alwiyah mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan pengundi tempatan hasil pengalaman sebagai wakil rakyat sejak 2018.-SuaraTV
Perkembangan itu juga dilihat sebagai petunjuk berterusannya penghijrahan pemimpin dan ahli Bersatu Johor ke UMNO susulan pergolakan dalaman yang melanda parti tersebut sejak awal tahun ini.
Setakat ini belum terdapat kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Bersatu Johor berhubung keputusan Alwiyah meninggalkan parti dan menyertai UMNO.



