KUALA LUMPUR – Penulis skrip dan penggiat seni Orang Kurang Upaya (OKU), Muhangku menggesa industri kreatif negara memberi perhatian lebih serius terhadap ruang serta peluang artis OKU dalam bidang lakonan, produksi dan media kreatif.
Muhangku berkata, masih terdapat kekurangan dari sudut peluang untuk artis OKU diketengahkan secara aktif dalam produksi filem, drama mahupun program televisyen tempatan, walaupun ramai dalam kalangan mereka mempunyai pengalaman serta aktif dalam bidang seni.
Menurutnya, perkara itu bukan soal simpati atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berkaitan peluang, keterangkuman dan keseimbangan dalam industri seni.
“Ini bukan soal simpati atau menyalahkan mana-mana pihak. Ini adalah soal peluang, keterangkuman dan keseimbangan dalam industri seni,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut merujuk kewujudan filem Garang yang sebelum ini pernah membawa elemen dan karakter berkaitan perjuangan insan OKU dalam karya tempatan.
Bagaimanapun, Muhangku berkata, masih ramai artis OKU yang dikenali dalam industri tidak menerima peluang atau panggilan untuk menyertai produksi seumpamanya walaupun mempunyai pengalaman dalam bidang seni.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana ruang sebenar diberikan kepada bakat OKU dalam industri kreatif Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berpandangan isu berkenaan memerlukan perhatian lebih menyeluruh di peringkat industri kreatif nasional termasuk melibatkan dasar, pembangunan bakat serta pembukaan peluang lebih luas oleh pihak berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Muhangku berkata, industri kreatif negara memerlukan lebih banyak kepelbagaian wajah, pengalaman hidup dan cerita sebenar masyarakat bagi menjadikan karya tempatan lebih dekat di hati penonton.
“Lihatlah kami sebagai anak seni yang mempunyai passion, disiplin dan cinta terhadap dunia kreatif sama seperti artis lain di set penggambaran,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak inisiatif, sesi uji bakat terbuka serta program pembangunan khas diwujudkan bagi memberi ruang lebih luas kepada penggiat seni OKU untuk berkembang secara profesional dalam industri.
Menurut Muhangku, bakat sebenar tidak seharusnya diukur melalui keadaan fizikal semata-mata, tetapi melalui kemampuan seseorang memberi impak, inspirasi dan menyentuh hati masyarakat menerusi karya seni.
Beliau yakin dengan perubahan dan sokongan yang lebih menyeluruh, Malaysia mampu melahirkan lebih ramai artis serta tenaga kreatif OKU yang berpotensi mengharumkan nama industri seni negara di peringkat nasional dan antarabangsa.-SuaraTV



