JOHOR BAHRU – Dewan Pemuda PAS Malaysia merayu UMNO Johor supaya mengkaji semula keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan mempertimbangkan rundingan politik bersama PAS menerusi gagasan Muafakat Nasional.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Tengku Fakhruddin menulis, kerjasama antara dua parti Melayu-Islam terbesar itu berpotensi memberi kemenangan kepada lebih banyak kerusi berdasarkan analisis keputusan pilihan raya lalu.
Menurut beliau, pengumuman Ketua Perhubungan UMNO Johor pada 25 Mei lalu bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor secara solo wajar dinilai semula memandangkan DUN Johor telah dibubarkan pada 1 Jun.
“Melalui jadual yang dikepilkan ini, jika dua parti Melayu-Islam terbesar melakukan permuafakatan politik, 11 kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN di Johor akan dapat dimenangi.
“Apalah kiranya jika BN mempertimbangkan semula keputusan bertanding solo dan berunding dengan PAS, parti yang berkongsi ideologi yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PRU15 dan PRN Johor sebelum ini menyaksikan pertembungan tiga gabungan utama yang menyebabkan undi Melayu-Islam berpecah dan memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Katanya, PAS dan UMNO masing-masing mempunyai kekuatan serta kubu tradisi tersendiri, namun pertandingan tiga penjuru hanya akan membuka ruang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Jika PAS masuk bertanding di kawasan kubu UMNO dan berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih, ada beberapa kemungkinan sama ada UMNO menang, PAS menang atau PH menang.
“Disebabkan PAS dan UMNO berkongsi segmen pengundi yang sama, pertembungan tiga penjuru menguntungkan PH yang didominasi DAP,” katanya.
Tengku Fakhruddin berkata, Muafakat Nasional yang pernah dibentuk antara PAS dan UMNO sebelum ini terbukti menjadi formula paling berkesan untuk menyatukan undi Melayu-Islam serta memperkukuh kestabilan politik negara.
Menurutnya, kegagalan kedua-dua parti membina semula permuafakatan boleh menyebabkan ketidaktentuan politik berterusan dan membuka ruang kepada pelaksanaan dasar yang didakwa tidak selari dengan kehendak majoriti rakyat.
“Adapun jika PAS dan UMNO menjayakan Muafakat Nasional, ia satu formula paling mujarab untuk pilihan raya dan kebaikan agama, bangsa serta tanah air.
“Titik mula Muafakat Nasional di Johor adalah sinar kesejahteraan Malaysia untuk hari mendatang,” katanya.
PRN Johor yang bakal diadakan susulan pembubaran DUN negeri itu dijangka menjadi medan penting untuk mengukur sejauh mana kemungkinan kerjasama politik antara PAS dan UMNO dapat direalisasikan semula selepas beberapa tahun hubungan kedua-dua parti menjadi renggang. -SuaraTv



