Oleh Zihan Zari
POKOK SENA – Keheningan kariah Kampung Bukit dekat sini bertukar ceria apabila Masjid Ar-Rayyan dipilih menjadi medan transformasi rohani dan jati diri buat 96 generasi muda menerusi Program TVET STAR Future Leader, di Masjid Ar-Rayyan dekat sini, baru-baru ini.
Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Zakat Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) serta Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEPP) POLIMAS.
Penganjuran program ini bertujuan memanfaatkan institusi ibadah sebagai pusat penyebaran ilmu, sahsiah, dan kepimpinan berteraskan ajaran Islam, sekali gus mempromosikan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di POLIMAS.
Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari berkata pemilihan Masjid Ar-Rayyan sebagai lokasi program adalah langkah strategik untuk mendekatkan pelajar dengan rumah ibadah.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cintakan ilmu, tetapi mempunyai ikatan hati yang kuat dengan masjid. Di sini, mereka belajar meningkatkan penghayatan ibadah harian, disiplin, dan nilai kepimpinan untuk menjadi modal insan yang seimbang,”katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Program, Afzanizam Alias berkata, pihak masjid, peserta dan semua jawatankuasa telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang program berlangsung sehingga segala aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancang.
Katanya, program tersebut berjaya membentuk pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti dan mampu membuat keputusan secara strategik di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri peserta dalam memimpin organisasi.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Ar-Rayyan, Muhamad Nasir Zain menzahirkan rasa bangga apabila masjid pimpinannya dipilih menjadi tuan rumah kepada program murni ini.
Beliau berkata masjid adalah nadi komuniti. Kehadiran anak-anak muda memenuhi ruang Masjid Ar-Rayyan sepanjang program ini menghidupkan syiar Islam.
Menurutnya, ukhuwah Islamiah yang terbina membuktikan pihak masjid dan institusi pendidikan seperti POLIMAS mampu bekerjasama erat demi memandu masa depan remaja kita.
Terdahulu, sepanjang berkampung di Masjid Ar-Rayyan, para peserta yang berumur antara 10 hingga 17 tahun mengikuti pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental.
Antaranya, ceramah motivasi Islam bagi menyuntik kesedaran dan inspirasi membina jati diri; dan latihan dalam kumpulan (LDK) bagi menguji semangat kerja berpasukan di persekitaran masjid.
Selain itu, aktiviti riadah sunnah bagi membina kecergasan fizikal berlandaskan syiar Islam; dan aktiviti kerohanian bagi melatih peserta kekusyukan dalam ibadah dan solat berjemaah di dewan solat utama.
Program ini mengumpulkan seramai 40 pelajar sekolah rendah dan 56 pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini, melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, SK Bukit Payung, SMK Bukit Payung, dan SMK Naka.
Bagi pelajar Tingkatan 3 dari SMK Naka,
Nur Soffa Huda Hambali, berkata pengalaman mengikuti program di masjid ini memberi impak mendalam terhadap pengurusan dirinya.
“Suasana di Masjid Ar-Rayyan sangat tenang dan membantu saya fokus. Saya belajar banyak tentang erti disiplin dan betapa pentingnya menjaga ibadah harian jika mahu berjaya dalam pelajaran,”kongsinya penuh semangat.
Rakan sekolahnya, Muhammad Awal Syawal Azizan, turut berkongsi impak positif yang diterimanya.
“Aktiviti LDK dan riadah sunnah di kawasan masjid mengajar saya menjadi ketua yang bertanggungjawab.
“Program ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menerokai peluang menyambung pengajian di POLIMAS suatu hari nanti,”katanya.
Langkah proaktif Jawatankuasa Zakat POLIMAS membuktikan bahawa pelaburan terbesar negara adalah dengan membentuk acuan rohani anak muda, bermula dari institusi masjid.-SUARA.TV



