CYBERJAYA – Pemimpin Bersatu hari ini menafikan laporan yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan isu Bersatu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Memetik laporan FMT, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Muhammad Faiz Na’aman menolak laporan The Star berkenaan isu tersebut yang disifatkannya sebagai “tidak betul” dan “provokatif”, sambil menegaskan partinya akan terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri sebagai PM.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak pernah membuat keputusan itu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Perdana Menteri membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada saat-saat akhir.
Ekoran itu Wan Saiful menyatakan kekecewaannya berhubung pembatalan pertemuan itu dengan berkata, Bersatu hanya mahu perdana menteri “menghormati PN sebagai mana beliau menghormati Pakatan Harapan”.
Menurut The Star, hari ini, laporan itu menyatakan kepimpinan PN kecewa dengan Ismail dan “hilang sabar” selepas pertemuan antara perdana menteri dan Hamzah dibatalkan.
Memetik pimpinan PN Sabah, laporan itu menyebut bahawa pilihan untuk menarik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu, minggu lalu.
Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, ia akan menjadi langkah terakhir sekiranya perdana menteri berterusan tidak mahu menunaikan janjinya dengan PN, kata laporan itu lagi.