ALOR GAJAH,– Usaha pihak polis menghalang pergerakan anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) hari ini gagal menghalang proses pemasyhuran YAM Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.
Pemasyhuran tersebut berlangsung di hadapan anggota DKU, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, serta barisan peguam yang mengikuti perkembangan krisis perlembagaan Negeri Sembilan.
Dalam istiadat tersebut, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12, menggantikan kedudukan yang menjadi pertikaian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Upacara berkenaan disiarkan secara langsung melalui Suara TV dan beberapa media lain dari Hotel Park Royal A Famosa selepas Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin yang sebelum ini menjadi lokasi Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang ditutup pihak polis.
Perkembangan itu berlaku selepas beberapa siri ketegangan sejak pagi tadi, bermula di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin apabila polis dilaporkan mengawal ketat pintu masuk dan menghalang keluar masuk ke kawasan berkenaan.
Mesyuarat Khas DKU yang berlangsung di balai tersebut bagaimanapun selesai selepas bersidang kira-kira sejam sebelum para anggota bergerak ke lokasi lain.
Selepas itu, keadaan sekali lagi tegang apabila anggota DKU dilaporkan dihalang pihak polis daripada bertemu Tunku Nadzaruddin di Hotel Park Royal A Famosa.
Pihak polis juga dikatakan gagal memberikan justifikasi undang-undang yang jelas ketika diminta menjelaskan alasan halangan tersebut.
Bagaimanapun, halangan itu tidak menjejaskan perjalanan istiadat pemasyhuran yang akhirnya berlangsung seperti dirancang.



