Jangan seleweng fakta, Injunksi Mahkamah hanya bermula jam 11 pagi tadi, Mesyuarat DKU pagi tadi sah – Peguam

SEREMBAN,– Peguam yang mewakili Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengingatkan pihak peguam Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin, supaya tidak memberi gambaran yang boleh menyeleweng fakta sebenar prosiding Mahkamah Tinggi Seremban.

Peringatan itu dibuat susulan kenyataan pihak peguam Setiausaha DKU kepada media yang memberi gambaran seolah-olah Sidang Khas DKU pada 5 Jun lalu tidak sah kerana melanggar perintah injunksi sementara mahkamah.

Dalam surat jawapan kepada pihak berkaitan, peguam Undang menegaskan bahawa Sidang Khas DKU yang berlangsung pada pagi berkenaan telah dimaklumkan secara jelas kepada hakim semasa prosiding mahkamah.

Menurut surat itu, hakim mengambil maklum mengenai kewujudan mesyuarat tersebut dan secara khusus menjelaskan bahawa perintah injunksi sementara hanya mula berkuat kuasa pada jam 11.06 pagi.

Peguam Undang turut menegaskan bahawa sebelum injunksi diberikan pada jam 11.06 pagi, tidak wujud sebarang perintah mahkamah yang mengarahkan mesyuarat DKU itu tidak boleh dimulakan atau diteruskan.

Mereka juga mengingatkan bahawa penyampaian sesuatu permohonan mahkamah tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah yang mempunyai kuasa mengikat dan wajib dipatuhi.

Sehubungan itu, peguam Undang menolak sebarang gambaran bahawa Sidang Khas DKU atau tindakan susulan yang diambil pada hari tersebut merupakan satu penghinaan terhadap mahkamah.

Menurut surat berkenaan, mesyuarat tersebut dimulakan dan dijalankan dalam lingkungan undang-undang yang berkuat kuasa pada ketika itu serta selaras dengan hak perlembagaan anak guam mereka di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Isu tersebut timbul selepas Mahkamah Tinggi Seremban mengeluarkan injunksi sementara bagi mengekalkan status quo dalam pertikaian yang melibatkan DKU, Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin dan beberapa Pembesar Memerintah Negeri Sembilan.

Perintah mahkamah itu kini menjadi sebahagian daripada pertikaian lebih luas berhubung krisis perlembagaan Negeri Sembilan, termasuk pemasyhuran Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 pada 5 Jun lalu. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat