Perjanjian Jawatan TPM, Muhyiddin Saran Hadi Rujuk Takiyuddin

- Advertisement -

IPOH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya merujuk kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengenai kewujudan perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, Takiyuddin sendiri adalah penulis draf dan terbabit secara langsung menggubal perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

“Selain Takiyuddin, individu yang terbabit secara langsung sebagai saksi adalah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selain Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri, disaksikan oleh Annuar dan saya bagi PN disaksikan oleh Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir.

“Jadi mungkin Tok Guru (Abdul Hadi) boleh memeriksa kembali dengan Takiyuddin. Itu kenyataan yang sebenar.

“Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN, bukan atas nama parti sahaja,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Kenduri Rakyat PN Perak di Jalan Pemimpin, Manjoi, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Muhyiddin bagaimanapun tidak menjawab soalan pemberita mengenai keperluan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan semula dalam waktu terdekat yang semakin menghampiri kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) selain rakyat yang kian dibelenggu isu kos sara hidup.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi menegaskan bahawa tiada perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam PN sebelum ini namun beliau mengakui ia ada dibincangkan antara PN dan Ismail Sabri namun tiada keputusan dicapai.

Muhyiddin berkata lagi, selain jawatan TPM, isi kandungan perjanjian itu antara lain menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam Kabinet khususnya mengenai bilangan kuota parti.

“Itu sebahagian daripada perjanjian itu dan sebab itu apabila Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar BERSATU, maka wajarlah ia diisi oleh Ahli Parlimen BERSATU.

“Jadi kita tidak tuntut lebih, yang kita kemukakan kepada Perdana Menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat