Fadhli cadang PAS, Bersatu bergerak berasingan di pentas pilihan raya

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkembangan terbaharu membabitkan kenyataan pemimpin Bersatu di Melaka menunjukkan seolah-olah sudah tiada harapan untuk kerjasama harmoni antara kedua-dua parti itu.

Menurut beliau, kenyataan bahawa “pekaklah” sesiapa yang mendakwa Bersatu tiada jentera hanya mengeruhkan lagi hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

“Apabila kedengaran sayup-sayup di Melaka ada pemimpin Bersatu yang berkata bahawa pekaklah sesiapa yang menyatakan partinya tiada jentera, maka itu bermakna sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi,” katanya dalam satu hantaran bertajuk Siapa Pekak?

Fadhli berkata, bukan satu kesalahan sekiranya sesebuah parti baharu tidak mempunyai jentera yang kuat, namun masalah timbul apabila kelemahan itu gagal diakui.

Katanya, penafian terhadap hakikat tersebut boleh menyebabkan tindakan politik dibuat berdasarkan keyakinan diri yang tidak berpijak pada kekuatan sebenar.

“Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera tambahan pula jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu,” katanya.

Beliau turut mendakwa kekurangan jentera bukan masalah besar sekiranya disusuli usaha pemantapan parti.

Namun, katanya, jika selepas bertahun-tahun pilihan raya sesebuah parti masih berdepan pertelingkahan dalaman, keadaan itu bukan lagi proses memantapkan parti.

“Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,” katanya.

Fadhli juga menyindir prestasi Bersatu dalam pembahagian dan keputusan kerusi apabila mendakwa parti itu sering bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan gabungan, tetapi gagal menang lebih banyak.

Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada kajian dan bacaan politik yang tidak tepat.

Dalam masa sama, Fadhli membangkitkan kebimbangan terhadap tindakan Bersatu dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan yang menurutnya boleh menimbulkan persoalan mengenai pendirian parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau mempersoalkan sama ada Bersatu mungkin membuat pertimbangan secara bersendirian dalam pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU16.

“Apatah lagi tindakan demi tindakan Bersatu kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk kerajaan Persekutuan?” katanya.

Justeru, Fadhli berkata jalan terbaik ialah PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya, meskipun hubungan sebagai rakan politik masih boleh dikekalkan.

“Secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya.

“Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat maju jaya,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika hubungan PAS dan Bersatu dilihat semakin tegang susulan beberapa isu dalaman PN, termasuk pertikaian berkaitan kekuatan jentera, pembahagian kerusi serta hala tuju kerjasama menjelang PRU16.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat