KUALA LUMPUR – Bekas ketua pengarang dan penasihat media kerajaan Datuk A Kadir Jasin menyenaraikan beberapa kemungkinan mengulas tindakan kerajaan negeri mempercepatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor setahun lebih awal dari tarikh penggal berakhir.
Wartawan veteran itu tidak menolak kemungkinan, boleh jadi Umno-BN bertujuan menjadikan PRN Johor sebagai alasan melafazkan cerai terhadap PH.
Teori congak beliau, Johor adalah tempat terbaik melafazkan talak kerana Umno kuat di negeri itu dan rakan kongsi “confidence & supply” dari PH adalah DAP.
“Kalau kestabilan dan kekuatan kerajaan negeri bukan matlamat utama memanggil PRN lebih awal maka apakah tujuannya?
“Adakah PRN Johor ini cara Umno dan BN menguji dasar “go solo” (bergerak bersendirian” mereka?
“Pada 3 Mei lalu, media massa melaporkan yang Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan Umno dan BN hampir pasti bergerak solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Selain mendapatkan talian hayat untuk Umno dan Ahmad Zahid selepas kalah teruk dalam PRU ke-15, persepakatan dengan PH nampaknya merugikan Umno dalam jangka masa panjang.
“Hal ini terbukti dalam pilihan raya enam negeri pada 2023. Umno dan PKR kalah teruk. Majoriti ahli dan penyokong Umno menolak kerjasama dengan PH di mana DAP adalah parti dominan,” katanya dalam ulasan di Facebook beliau.
Menurut A Kadir lagi, kalau ikut tempoh asal, DUN Johor sah hingga April 2027 iaitu lima tahun daripada Pilihan Raya Negeri 2022.
Ujarnya, daripada pandangan mata kasar, tidak nampak ada keperluan yang mendesak bagi membubarkan DUN dan mengadakan PRN hampir setahun lebih awal.
“Kerajaan negeri kuat. Daripada 56 kerusi, Barisan Nasional (BN) saja ada 40 (33 Umno, 4 MCA dan 3 MIC). Campur 12 kerusi “confidence & supply” daripada Pakatan Harapan (PH) (10 DAP, 1 PKR dan 1 Amanah) jadi 52. Pembangkang ciput. Empat kerusi saja. Bersatu 2, Pas 1 dan Muda 1.
“Ditambah sokongan padu Istana Johor, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, adalah harimau tunggal di atas bukit.
“Namun pada 1 Jun, cucu Almarhum Hussein Onn itu mengumumkan pembubaran DUN setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan, Tengku Mahkota Ismail,” katanya.
Mengenai PRN Johor 2022, A Kadir berkata, daripada 2,539,606 pemilih, hanya 54.92 peratus keluar mengundi. Satu peratusan yang rendah seolah-olah ada gerakan boikot.
Kata beliau, BN masuk PRN itu sebagai pihak yang kalah dan PH yang menang. Ini adalah kerana dalam PRN 2018, BN menang 19 kerusi dan PH 28.
“Tetapi BN muncul sebagai pemenang dengan 40 kerusi dan PH tewas dengan memperoleh 12 kerusi saja.
“Kesimpulannya, PRN Johor kali bukan sekadar manifestasi keyakinan Umno, tetapi boleh berubah menjadi permulaan kepada pengakhiran kerjasama BN-PH.
“Setidak-tidaknya langkah itu telah pun mencetus perselisihan dalam DAP yang menyaksikan penarikan diri Adun Skudai, Marina Ibrahim. Marina mengumumkan tidak akan bertanding walaupun ditawarkan kerusi oleh partinya,” katanya.



