Anwar arah KPT, KKM selesaikan segera isu pengiktirafan graduan farmasi Universiti Alexandria

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap aduan yang dikemukakan pelajar bidang farmasi di Universiti Alexandria, Mesir berhubung pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD) untuk tujuan pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.

Justeru Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Anwar menggesa KPT dan KKM supaya menyelesaikan isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat.

“Ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan.

“Bagaimanapun, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia.

“Justeru, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan Madani yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” katanya menurut kenyataan itu.

Terdahulu media sebelum ini melaporkan, empat penuntut program Doktor Farmasi (PharmD) di Universiti Alexandria, Mesir merayu Perdana Menteri campur tangan membantu menyelesaikan isu pengiktirafan kelayakan yang menjejaskan masa depan akademik dan kerjaya mereka.

Mereka berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian segera supaya dibenarkan menduduki peperiksaan kelayakan di bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), sekali gus melengkapkan pengajian dan menjalani latihan profesional di negara ini.

Menurut mereka, campur tangan Perdana Menteri mungkin menjadi jalan paling cepat untuk menyelesaikan kemelut berkenaan selepas Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengakui program PharmD yang diikuti setara dengan program terdahulu yang pernah diiktiraf.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat