Oleh Zihan Zari
KUALA TERENGGANU – FTV Fomalhaut, kapal latihan baharu Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) sebagai langkah strategik memperkukuhkan pembangunan modal insan sektor perikanan negara serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak.
Isham berkata FTV Fomalhaut sepanjang 26 meter yang dibina oleh MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd. melibatkan kos RM9.288 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Fomalhaut yang membawa maksud ‘Mulut Ikan Paus’ dipilih bagi melambangkan keteguhan, keberanian serta keupayaan menghadapi cabaran besar di lautan.
“Kapal latihan ini bakal menjadi platform utama bagi latihan praktikal utama dalam usaha melahirkan tenaga kerja perikanan tempatan yang mahir, kompeten dan memenuhi keperluan industri perikanan moden negara, ”katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Isham telah mengadakan lawatan kerja dan mempengerusikan mesyuarat pemantauan bagi Projek Perkhidmatan Merekabentuk, Membina, Menguji dan Mentauliah Kapal Latihan untuk KPSN di MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd., dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain; Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti & Latihan Pertanian KPKM, Hizatul Haliza Hashim; Setiausaha Bahagian Kewangan KPKM, Misjijah Marul; Pengarah KPSN, Norul Fahiezah Salehuddin; dan pegawai-pegawai kanan dari KPKM dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Isham berkata, pelancaran aset strategik tersebut selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) Teras 3 yang memberi fokus mentransformasikan sektor agromakanan negara menjadi industri yang mampan, berdaya tahan, dan berteknologi tinggi melalui pembangunan bakat yang memenuhi permintaan industri.
Katanya, pelaksanaan pelan ini dijayakan menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian yang melibatkan golongan belia dalam sektor pertanian agar sektor ini terus berdaya maju selari dengan peredaran zaman.
“Sektor perikanan tangkapan kekal menjadi antara penyumbang utama bekalan ikan negara dengan pengeluaran melebihi 1.2 juta tan metrik setahun.
“Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi amat penting bagi memastikan sektor ini terus mampan, berdaya tahan dan mampu menyokong keterjaminan makanan negara,”katanya lagi.
Ujarnya, penyediaan kapal latihan tersebut turut memperkukuhkan peranan KPKM dalam melahirkan graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Perikanan yang memenuhi standard industri serta keperluan teknologi perikanan semasa.
“Aset latihan itu mampu menampung seramai 25 orang pada satu-satu masa serta akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan kaedah pembelajaran secara 30 peratus (%) teori dan 70% kemahiran praktikal.
“Melalui latihan tersebut, para pelatih akan didedahkan secara langsung kepada keseluruhan rantaian pengoperasian sebenar perikanan tangkapan termasuk pengendalian vesel, navigasi asas, operasi pukat jerut, pengendalian hasil tangkapan, penggunaan teknologi perikanan moden serta aspek keselamatan dan prosedur operasi di laut, ”ujarnya lagi.
“Pendekatan latihan berasaskan pengalaman sebenar di lapangan ini diyakini mampu meningkatkan kompetensi, disiplin dan keyakinan pelatih sebelum memasuki industri sebenar, sekali gus menyokong pembangunan sektor perikanan negara yang lebih moden, berteknologi tinggi dan mampan, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, Malaysia merekodkan kadar pengambilan ikan per kapita sekitar 44.7 kilogram (kg) seorang setahun, antara yang tertinggi di Asia, menjadikan sektor perikanan sebagai komponen penting dalam agenda keterjaminan makanan negara.-SUARA.TV


