90 peratus komen kecam PDRM, orang ramai persoal tindakan Polis dalam Krisis Negeri Sembilan

SEREMBAN, – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan media mempertahankan operasi kawalan keselamatan semasa krisis institusi diraja negeri itu dilihat gagal meredakan kemarahan orang ramai apabila sebahagian besar komen netizen di media sosial tampil mempertikaikan tindakan polis.

Semakan pada ruangan komen hantaran rasmi Facebook Polis Negeri Sembilan mendapati sebahagian besar komen yang ditinggalkan pengguna media sosial mempersoalkan tindakan anggota polis yang menghalang kemasukan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan beberapa pembesar negeri ke Balai Rasmi Tunku Besar Tampin pada Jumaat tadi.

Malah ramai pengguna media sosial mempersoalkan justifikasi PDRM bahawa tindakan tersebut dilakukan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Seorang pengguna Facebook, Al Fath AdDin, mempersoalkan bagaimana Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang merupakan pembesar pemerintah negeri boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan sehingga dihalang memasuki premis berkenaan.

“Takkan PDRM gagal mengenali siapa YTM Dato’ Undang Yang Empat? Dan takkan PDRM gagal mengenali siapa tuan tanah? Sedangkan tuan tanah benarkan?” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Azrii Sewa Induction Cooker, turut mempertikaikan tindakan menutup pintu pagar balai rasmi atas alasan keselamatan.

“Tutup pagar balai = jaga keselamatan? Undang duduk luar tak dapat masuk = keselamatan? Dua orang raja Negeri Sembilan berdiri di tepi jalan = keselamatan?” katanya.

Turut menjadi perhatian ialah komen yang mengingatkan bahawa menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang Luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau mengikut adat negeri.

Beberapa pengguna lain pula mempersoalkan sama ada tindakan polis dilakukan atas pertimbangan profesional atau dipengaruhi tekanan politik.

Antara komen yang menerima sokongan ramai ialah kenyataan bahawa polis seharusnya bertindak secara neutral dalam pertikaian yang melibatkan institusi negeri dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana pihak.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Polis Negeri Sembilan sebelum ini, PDRM menjelaskan bahawa penugasan anggota di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin dibuat bagi memastikan ketenteraman awam, keselamatan orang ramai dan kelancaran situasi di kawasan berkenaan.

PDRM turut memaklumkan pihaknya menerima salinan perintah mahkamah berkaitan perkara tersebut pada 5 Jun dan akan menjalankan tugas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, reaksi yang diterima pada hantaran rasmi Facebook Polis Negeri Sembilan menunjukkan sebahagian besar netizen masih tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

Semakan SuaraTV mendapati majoriti komen yang ditinggalkan pengguna Facebook adalah berbentuk kritikan dan pertanyaan terhadap tindakan polis, manakala hanya sebilangan kecil yang menyatakan sokongan kepada kenyataan rasmi PDRM.

Kontroversi itu tercetus selepas anggota polis dilihat mengawal ketat kawasan Balai Rasmi Tunku Besar Tampin pada pagi Jumaat sebelum Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) berlangsung, sehingga menimbulkan pertikaian dalam kalangan pembesar negeri dan orang ramai yang berada di lokasi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat