Pemindahan Dana 1MDB Tak Dimaklumkan Kepada Najib – Saksi Pendakwa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan RM2.3 bilion hari ini setelah dua minggu penangguhan prosiding itu.

Sebelum ini, kali terakhir perbicaraan pada 17 Ogos ditangguhkan lebih awal kerana Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan terpaksa menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk proses undian selain menyertai sesi perbahasan ketika itu.

Prosiding hari ini bermula dengan peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed meneruskan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang memberikan keterangan sejak 23 September tahun lalu.

Kata Wan Aizuddin kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Collin Lawrence Sequerah beliau memerlukan lebih dua jam lagi esok untuk menyoal balas saksi sebelum peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sambung sesi berkenaan untuk beberapa jam selepas itu.

Sebentar tadi ketika soal balas, saksi mengakui Lembaga Pengarah 1MDB dan juga Perdana Menteri yang ketika itu Najib sebenarnya tidak mengetahui dan dimaklumkan dengan pelbagai pindahan dana 1MDB Global Investments kepada dana fidusiari, iaitu Devonshire Funds Ltd.

Malah kata Shahrol kepada mahkamah, beliau tidak pernah mengetahui apa-apa tentang Devonshire ketika itu, kerana dua Pengarah 1MDB Global iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman and Azmi Tahir tidak pernah memaklumkan pemindahan itu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Bagaimanapun pada masa sama, Shahrol berkata, beliau tidak boleh bercakap bagi pihak Najib adakah benar bekas perdana menteri itu tidak tahu menahu tentang Devonshire mahupun urusniaga serta pemindahan tersebut.

Dalam pada itu ketika diasak berkali-kali oleh Wan Aizuddin adakah sebagai CEO beliau sebenarnya telah gagal menyelamatkan 1MDB sebaliknya bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho bersama kuncu-kuncu lain, Shahrol menafikannya.

Ketika beberapa dokumen bank ditunjukan kepada Shahrol, dia bersetuju dengan transaksi antara 1MDB Global kepada Devonshire pada masa itu sambil mengesahkan juga 1MDB adalah pemilik benifisiari Devonshire.

Shahrol juga mendedahkan ketika urusniaga Devonshire itu dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, mereka tidak pernah meluluskan sebarang pengambilalihan syarikat yang didaftarkan di Kepulauan British Virgin itu.

Sebenarnya tidak banyak maklumat diketahui berkaitan dengan syarikat ini namun pada masa sama ianya juga seperti sepadan dengan Devonshire Capital Limited yang berpangkalan di Bangkok, Thailand.

Shahrol juga mengakui ada kemungkinan syarikat ini adalah palsu yang di tubuhkan untuk menyeleweng dana daripada 1MDB Global tanpa pengetahuan 1MDB.

Syarikat Devonshire dalam kes ini berkaitan dengan bon AS$3 bilion yang diraih 1MDB untuk usaha sama dengan Aabar PJS Ltd milik Abu Dhabi. Penerbitan bon itu dikendalikan Goldman Sachs.

Projek usaha sama dikenali sebagai Abu Dhabi Malaysia Investment Company yang sepatutnya membangunkan projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.

Ketika awal kes, pendakwaan pernah mendakwa Devonshire menerima telah AS$646,464,649 secara lima peringkat dalam masa dua hari pada 21 Mac 2013 sebelum memindahkan jumlah itu kepada satu lagi syarikat, Tanore Finance.

Dari situ kata pendakwaan, Tanore telah memindahkan AS$681 juta, antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013 ke dalam akaun bank Najib.

Bagaimanapun perkara tersebut belum dapat dibuktikan lagi.

Najib ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung esok. –MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat