Salleh mahu projek Persekutuan Sabah dipercepat, kos meningkat setiap kali tertangguh

KOTA KINABALU – Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu pelaksanaan projek-projek Persekutuan di Sabah dipercepatkan kerana setiap kelewatan bukan sahaja menjejaskan manfaat kepada rakyat, malah menyebabkan kos projek terus meningkat.

Salleh yang secara rasmi melaporkan diri untuk bertugas hari ini berkata, tumpuan awal beliau adalah mengenal pasti projek-projek Persekutuan yang lewat, tergendala atau masih belum dimulakan termasuk projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Menurut beliau, dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu, pelaksanaan projek mengikut jadual kini menjadi lebih kritikal berbanding sebelum ini.

“Setiap kelewatan mempunyai kos. Peningkatan kos pembinaan, turun naik harga tenaga dan ketidaktentuan rantaian bekalan bermakna projek yang tertangguh hari ini mungkin memerlukan peruntukan yang jauh lebih tinggi pada masa hadapan.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, adalah penting projek yang telah diluluskan dilaksanakan mengikut jadual. Sebarang kelewatan boleh menyebabkan peningkatan kos, memberi tekanan tambahan kepada bajet pembangunan serta mengurangkan nilai manfaat yang sepatutnya diterima oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan awal Merinyu Projek Sabah (Menpro) telah diselaraskan dengan keutamaan Ketua Menteri Sabah dan memberi fokus kepada usaha memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri itu.

Salleh turut mengingatkan bahawa perkembangan geopolitik semasa berpotensi memberi kesan langsung kepada kos pembangunan dan pelaksanaan projek kerajaan.

Katanya, konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Iran berisiko menjejaskan pasaran tenaga global serta rantaian bekalan antarabangsa, sekali gus meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan logistik.

“Perkembangan geopolitik semasa, termasuk konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global serta rantaian bekalan antarabangsa.

“Sekiranya konflik ini berpanjangan, ia boleh menyumbang kepada tekanan inflasi serta meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan logistik,” katanya.

Menurut beliau, kelewatan projek yang berlaku ketika ini tidak boleh lagi dilihat sebagai isu pentadbiran semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai cabaran ekonomi yang memerlukan tindakan segera.

Beliau berkata, peranan Menpro adalah berorientasikan penyelesaian dengan memberi tumpuan kepada mengenal pasti halangan pelaksanaan, meningkatkan penyelarasan antara agensi serta mengemukakan cadangan praktikal bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Objektif kami bukan sekadar mengenal pasti masalah, tetapi membantu menyelesaikannya. Tindakan awal, penyelarasan yang lebih baik dan keputusan yang tepat pada masanya adalah penting bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Salleh menjelaskan bahawa skop awal Menpro akan tertumpu kepada projek-projek Persekutuan di Sabah, manakala projek Kerajaan Negeri hanya akan diteliti sekiranya terdapat arahan khusus daripada Ketua Menteri.

Tambah beliau, Menpro akan bekerjasama rapat dengan kementerian, jabatan dan agensi pelaksana bagi memperkukuh pemantauan projek, meningkatkan prestasi penyampaian serta memastikan projek pembangunan memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi Sabah dalam tempoh yang sewajarnya.

“Pendekatan ini telah dibincangkan dengan Ketua Menteri dan akan dilaksanakan selaras dengan panduan serta keutamaan beliau bagi agenda pembangunan Sabah,” katanya.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat