SEREMBAN, 4 Jun — Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun malam ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa esok selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang media khas di Seremban, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diadakan dalam tempoh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, Aminuddin enggan mengulas ketika ditanya pemberita sama ada pembubaran DUN tersebut turut mendapat persetujuan Undang Yang Empat.
Beliau sebaliknya hanya mengesahkan bahawa pembubaran DUN dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perkembangan itu berlaku kurang 24 jam sebelum Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadual berlangsung pada pagi esok di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin.
Sidang khas tersebut sebelum ini dipanggil oleh enam pembesar pemerintah Negeri Sembilan yang terdiri daripada empat Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong bagi membincangkan isu-isu berkaitan pentadbiran dan pemerintahan adat negeri.
Malah, pembesar-pembesar berkenaan sebelum ini turut mengumumkan keputusan menggantung tugas Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, serta memutuskan untuk menjemput Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Seri Menanti menghadiri sidang khas tersebut.
Pengumuman pembubaran DUN pada malam sebelum sidang khas DKU dijadual berlangsung dijangka mencetuskan pelbagai tafsiran politik dan perlembagaan memandangkan Negeri Sembilan ketika ini berdepan kemelut melibatkan institusi pemerintahan adat dan DKU.
Sejak April lalu, negeri itu menyaksikan pertikaian terbuka melibatkan beberapa institusi utama pemerintahan adat berhubung tafsiran kuasa serta kedudukan beberapa keputusan yang dibuat oleh pembesar-pembesar negeri.
Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada sidang khas DKU yang dijadualkan esok akan diteruskan seperti dirancang susulan pengumuman pembubaran DUN tersebut.
SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan. – SuaraTV



