KUALA LUMPUR – HELIOS SOLAR AG merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Terkawal (General Standard) Bursa Saham Frankfurt bagi memperkukuh strategi pertumbuhan antarabangsa syarikat itu, khususnya dalam sektor tenaga solar di Eropah dan Asia Tenggara.
Dalam kenyataan media yang diterbitkan pada 3 Jun 2026, syarikat berpangkalan di Munich, Jerman itu memaklumkan tawaran tersebut melibatkan sehingga 7.6 juta saham pada harga EUR4.00 sesaham. Tempoh langganan dijadual bermula 22 Jun hingga 6 Julai 2026, manakala dagangan pertama saham dijangka berlangsung pada 28 Julai 2026 di Bursa Frankfurt.
Ketua Pegawai Eksekutif HELIOS SOLAR AG, Dato’ Ong Thuan Ming berkata penyenaraian itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan syarikat sebagai penyedia penyelesaian tenaga solar inovatif di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, akses kepada pasaran modal Eropah akan meningkatkan fleksibiliti kewangan syarikat serta membantu mempercepatkan peluasan operasi global kumpulan berkenaan.
HELIOS SOLAR menjangkakan hasil bersih sekitar EUR26.87 juta sekiranya semua saham berjaya ditempatkan sepenuhnya. Dana itu akan digunakan bagi memperluaskan operasi di beberapa negara termasuk Malaysia, Jerman, Bulgaria, Kemboja dan Singapura.
Sebanyak 58.8 peratus daripada hasil bersih IPO akan disalurkan kepada pengembangan operasi di Malaysia, termasuk kerjasama strategik bersama Public Islamic Bank Berhad dan Boost Bank Berhad selain penubuhan Training & Innovation Center.
Selain itu, 32.5 peratus dana akan digunakan bagi mengembangkan operasi di Jerman dan Eropah termasuk pembangunan dua projek solar di Bulgaria. Baki dana pula diperuntukkan untuk pengembangan operasi di Kemboja dan Singapura.
Syarikat itu berpandangan permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui di Eropah terus meningkat susulan sasaran perubahan iklim, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), aplikasi awan dan pusat data yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik lebih tinggi.
Menurut HELIOS SOLAR, tenaga fotovoltaik kini menjadi antara sumber tenaga paling ekonomik dan mudah diperluaskan, selain semakin penting dalam menyokong peralihan tenaga hijau dan pertumbuhan ekonomi digital global.
HELIOS SOLAR AG merupakan syarikat induk kepada Helios Group yang memberi tumpuan kepada pembangunan projek fotovoltaik untuk pelanggan komersial, industri, kediaman dan taman solar berskala utiliti. Operasi utama kumpulan itu kini tertumpu di Malaysia dan Asia Tenggara sebelum diperluaskan ke pasaran Eropah.



