KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon.
Langkah berkenaan diambil bagi memastikan kesiapsiagaan penuh parti di samping mengekalkan konsep WALI iaitu gabungan kualiti calon yang berpotensi untuk menang (winnable), disukai (likable), dan boleh diterima oleh masyarakat (acceptable) sebagai teras utama pemilihan.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ,berkata senarai penuh calon bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan dimuktamadkan dalam tempoh yang paling singkat.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari, Putrajaya lapor BH pada Khamis.
Menurut Zahid, pendekatan pengumuman awal ini amat penting bagi memastikan sebarang isu berbangkit di peringkat kawasan atau DUN tertentu dapat ditangani dan diselesaikan dengan lebih lancar sebelum saingan bermula.
Mengulas lanjut mengenai kriteria pemilihan calon, Zahid menegaskan tiga falsafah utama di bawah konsep WALI kekal menjadi sandaran parti demi memastikan barisan kepimpinan yang ditawarkan benar-benar memenuhi kehendak pengundi di peringkat akar umbi.
Pada masa yang sama, beliau mendedahkan bahawa BN akan menerapkan elemen kombinasi yang seimbang antara pemegang jawatan sedia ada dengan penampilan ramai muka-muka baharu.
“Kehadiran bakat-bakat kepimpinan baharu ini dijangka mewarnai serta menyuntik dinamik politik yang segar kepada landskap pentadbiran di Negeri Johor kelak,” katanya.
Sementara itu, menyentuh aspek jentera parti, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN kini dalam fasa akhir memperkukuhkan penyelarasan jentera sedia ada.
“Bagi memastikan kelancaran gerak kerja kempen kelak, parti juga akan menggerakkan sokongan rakan-rakan jentera daripada negeri lain untuk turun padang membantu kempen di Johor.
Pembabitan jentera luar ini dijangka mampu mempertingkatkan sokongan moral serta memperkemas jentera tempatan demi memastikan kemenangan mutlak kekal milik parti,” katanya.


