KSM Kenal Pasti 66 Syarikat Buat Tuntutan Palsu PenjanaKerjaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengenal pasti sebanyak 66 syarikat mengambil kesempatan dan menyalah guna tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggunakan forensik dalaman bagi mengesan salah laku berkenaan.

“Sehingga kini 45,379 syarikat sudah mendapat manfaat tuntutan insentif program itu yang juga sebahagian usaha untuk mengurangkan pengangguran.

“Sehingga hari ini lebih RM2 bilion sudah dibelanjakan, namun tidak dinafikan ada yang terlepaspandang yang mana daripada jumlah itu 66 syarikat dikenal pasti ambil kesempatan dan salah guna.

“KSM menerusi Perkeso membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik,” katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 hari ini.

Majlis perasmian ekspo kerjaya itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Pada 15 Julai lalu, dilaporkan Perkeso menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tindakan penggantungan bayaran dibuat berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AEFI) agensi itu.

Siasatan berhubung kes tuntutan palsu PenjanaKerjaya itu dibuat melalui Ops Hire, yang dilaksanakan secara bersepadu bersama SPRM selepas pemantauan dan risikan sejak Mei mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana PenjanaKerjaya.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Saravanan berkata, status 66 syarikat terbabit ketika ini masih dalam siasatan SPRM.

“Perkara ini tidak perlu dipolitikkan, maka kita serah kepada SPRM untuk siasat, tapi biasalah pembangkang cuba kata ini penyelewengan dan sebagainya.

“Kita berpendapat mungkin syarikat ini sudah menyalahgunakan kemudahan (insentif) yang diberi kepada mereka itu yang kita minta SPRM siasat,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat