JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan beberapa hari selepas Johor bukan kebetulan, sebaliknya berkait dengan reaksi terhadap pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN.
Menurut beliau, terdapat pihak mempertikaikan keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk membubarkan DUN, namun hakikatnya pilihan raya tetap perlu diadakan sama ada sekarang atau pada masa hadapan.
“Ada pihak di sebelah sana mempersoalkan langkah Menteri Besar Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri. Ada yang kata BN mahu bermain sandiwara politik.
“Tetapi hakikatnya hari ini, esok atau tahun hadapan sekalipun pembubaran tetap akan berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini.
Ahmad Zahid berkata, beberapa hari selepas pembubaran DUN Johor, Negeri Sembilan turut mengambil langkah sama.
“Malah selang beberapa hari sahaja selepas itu, bukan sahaja Johor, Negeri Sembilan juga dibubarkan.
“Bukan salah Datuk Onn. Kenapa negeri tersebut dibubarkan? Sebab di Johor Datuk Onn telah sebut, Barisan Nasional tetap bertanding 56 kerusi,” katanya.
“Ada yang di sana kata kalau Johor bubar hari ini, esok Negeri Sembilan akan bubar.
“Jika BN bertanding 56 kerusi di Johor, mereka akan bertanding 36 kerusi di Negeri Sembilan,” katanya.
Ucapan Zahid itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini yang memberi bayangan DUN Negeri Sembilan boleh dibubarkan sekiranya BN membubarkan DUN Johor lebih awal.
Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, BN tidak gentar dengan cabaran tersebut dan bersedia menghadapi mana-mana parti di medan pilihan raya.
“Ia silakan. Kita jumpa di gelanggang,” katanya yang disambut sorakan para penyokong yang hadir.
Kenyataan itu dibuat ketika hubungan antara BN dan DAP terus menjadi perhatian selepas BN Johor mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.-SUARA.TV


