JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan dua tokoh veteran politik negara, Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Syed Hamid Albar kembali menyertai UMNO.
Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung di Johor Bahru pada Ahad.
Kepulangan semula kedua-dua pemimpin berpengalaman itu disambut meriah oleh para penyokong dan pimpinan parti yang hadir.
Noh merupakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau sebelum ini digugurkan keahlian daripada UMNO pada Januari 2023 sebelum kemudiannya menyertai Bersatu.
Sementara itu, Syed Hamid merupakan antara tokoh kanan UMNO yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri dan Menteri Dalam Negeri serta pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Dalam majlis sama, Onn Hafiz turut mengalu-alukan kehadiran bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kembali bersama kepimpinan parti selepas penggantungan keahliannya ditarik balik.
Kehadiran Hishammuddin bersama pengumuman kemasukan semula Noh dan Syed Hamid dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuhkan dan menyatukan semula saf UMNO menjelang PRN Johor.
Perkembangan tersebut turut memberi gambaran bahawa UMNO sedang menghimpunkan semula tokoh-tokoh berpengalaman parti bagi menghadapi cabaran politik semasa dan pilihan raya akan datang.
Majlis Pelancaran Jentera BN Johor itu turut menghimpunkan kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri sebagai persediaan menghadapi PRN Johor yang dijangka menjadi antara medan politik paling mendapat perhatian di negara ini.


