Undang Yang Empat Serah Pemakluman Rasmi Kepada Yang di-Pertuan Agong Berhubung Fasal 10 dan Fasal 11 UUTKNS

KUALA LUMPUR,– Krisis perlembagaan yang melanda Negeri Sembilan memasuki satu lagi fasa penting apabila Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat Negeri Sembilan dilaporkan telah menyerahkan pemakluman rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung tindakan mereka menurut Fasal 10 dan Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Berdasarkan surat bertarikh 5 Jun 2026 yang dialamatkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Dato’ Haji Jaba Mohd Noah, Undang Yang Empat memaklumkan bahawa mereka mewakili institusi Undang Negeri Sembilan bagi menyembahkan sabda pemakluman berkaitan pengisytiharan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Surat tersebut turut memaklumkan mengenai pengisytiharan pemilihan dan pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 menurut Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurut kandungan surat itu, bersama-sama pemakluman tersebut turut disertakan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menjelaskan maksud dan asas tindakan berkenaan.

“Untuk makluman Yang Berhormat Dato’, adalah Kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat Negeri Sembilan Darul Khusus mewakilkan ke pangkuan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku, Sabda Pemakluman berkaitan perkara Fasal 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Pengisytiharan Pemecatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan perkara Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Pengisytiharan Pemilihan dan Pelantikan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12,” menurut surat tersebut.

Dokumen yang disertakan itu turut merujuk kepada sabda bertarikh 19 April 2026 yang ditandatangani oleh keempat-empat Undang Negeri Sembilan iaitu Datuk Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak (Undang Luak Sungai Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad (Undang Luak Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah (Undang Luak Johol) dan Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Yasin (Undang Luak Rembau).

Dalam sabda tersebut, Undang Yang Empat menyatakan bahawa mereka telah mengadakan sidang dan penyiasatan berhubung dakwaan salah laku yang dikatakan dilakukan oleh Tuanku Muhriz selepas baginda menaiki takhta Negeri Sembilan.

Mereka mendakwa hasil siasatan itu mendapati tindakan berkenaan telah menjejaskan kesucian, kehormatan serta nama baik institusi Raja di Negeri Sembilan.

Berikutan itu, Undang Yang Empat menyatakan mereka menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk memutuskan bahawa Tuanku Muhriz hendaklah turun daripada takhta dan berhenti menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai usaha rasmi Undang Yang Empat membawa perkara tersebut ke pengetahuan Ketua Utama Negara di tengah-tengah pertikaian perundangan dan perlembagaan yang masih berlangsung berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta tafsiran kuasa institusi Undang menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

Setakat ini, pihak Istana Seri Menanti dan Kerajaan Negeri Sembilan masih berpegang kepada pendirian bahawa tindakan yang diumumkan pada 19 April lalu tidak mempunyai kesan perundangan dan sedang dicabar melalui proses mahkamah yang sedang berjalan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat