Keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada malam 4 Jun lalu kini menjadi persoalan besar selepas Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengemukakan bantahan rasmi terhadap tindakan tersebut.
Persoalan yang perlu dijawab bukan sama ada Menteri Besar mempunyai kuasa menasihati pembubaran DUN atau tidak. Perkara itu memang diperuntukkan dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Persoalan sebenar ialah sama ada pembubaran tersebut sah sekiranya dilakukan tanpa persetujuan pihak yang diiktiraf oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebagai Ruling Chiefs atau Pemerintah Negeri.
Perbahasan ini menjadi lebih menarik apabila satu dokumen rasmi pembubaran DUN Negeri Sembilan tahun 2023 kembali tular.
Dalam dokumen tersebut, proklamasi pembubaran tidak hanya menyebut Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertindak atas kapasiti baginda semata-mata, sebaliknya turut mengandungi frasa:
”And on behalf of the Ruling Chiefs.”
Atau dalam bahasa mudahnya, “dan bagi pihak para Pemerintah.”
Persoalannya, siapakah yang dimaksudkan dengan Ruling Chiefs?
Jawapannya terdapat secara jelas dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sendiri.
Fasal XXXIV mentakrifkan “Ruling Chiefs” sebagai:
“the Undang of the Luak of Sungai Ujong, the Undang of the Luak of Jelebu, the Undang of the Luak of Johol, the Undang of the Luak of Rembau and the Tunku Besar of Tampin.”
Dengan kata lain, Ruling Chiefs bukan merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar, tetapi merujuk kepada Undang Luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau dan Tunku Besar Tampin.
Lebih menarik, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan juga menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Besar sendiri dipilih oleh Undang Yang Empat dan bukannya mewarisi takhta secara automatik seperti yang berlaku di negeri-negeri Melayu lain.
Justeru, kedudukan Undang dalam struktur perlembagaan Negeri Sembilan bukan sekadar simbol adat, tetapi merupakan sebahagian daripada institusi pemerintahan yang diiktiraf oleh undang-undang negeri.
Atas sebab itu, bantahan yang dikemukakan oleh peguam yang mewakili Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak boleh dipandang ringan.
Dalam surat bertarikh 5 Jun 2026 yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, mereka menegaskan bahawa sehingga surat itu dikeluarkan, tiada sebarang persetujuan dimohon daripada anak guam mereka berhubung pembubaran DUN tersebut.
Malah surat berkenaan menyatakan pembubaran itu didakwa melanggar beberapa peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan termasuk Fasal 56(2), Fasal 38(4) dan Fasal 28(1) serta 28(2).
Peguam berkenaan turut memberi amaran bahawa sekiranya pembubaran diteruskan, ia boleh menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk persoalan mengenai kesahan pilihan raya yang bakal diadakan.
Di sinilah timbul persoalan paling penting.
Jika pembubaran DUN pada tahun 2023 dilakukan melalui proklamasi yang secara jelas menyatakan Yang di-Pertuan Besar bertindak “bagi pihak Ruling Chiefs”, bolehkah kerajaan negeri hari ini berhujah bahawa persetujuan atau penglibatan Ruling Chiefs tidak lagi diperlukan?
Dokumen tahun 2023 mungkin bukan bukti muktamad bahawa pembubaran DUN 2026 tidak sah.
Namun ia menunjukkan satu amalan perlembagaan yang telah diterima pakai sebelum ini, iaitu pembubaran DUN dilakukan bukan semata-mata atas nama Yang di-Pertuan Besar tetapi turut melibatkan institusi Ruling Chiefs.
Lebih penting, bantahan rasmi yang difailkan oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menjadikan isu ini bukan lagi sekadar perdebatan politik.
Kini ia telah menjadi pertikaian perlembagaan yang sebenar.
Sekiranya pembubaran DUN diteruskan dan pilihan raya diadakan, besar kemungkinan mahkamah akhirnya perlu menentukan sama ada persetujuan Ruling Chiefs hanyalah satu amalan pentadbiran atau sebenarnya merupakan syarat yang wajib dipenuhi di bawah kerangka unik Perlembagaan Negeri Sembilan.
Sehingga persoalan itu dijawab, tanda tanya terhadap keabsahan pembubaran DUN Negeri Sembilan akan terus menghantui proses pilihan raya yang bakal berlangsung. – SuaraTV


