Sisi lain Rais Yatim

Lagu “Tiada Kata Secantik Bahasa” membawa tema penghargaan yang sangat tinggi terhadap seseorang yang dikagumi dan dihormati. Maksud ungkapan lirik lagu karangan P.Ramlee , “tiada kata secantik bahasa” dan “tiada gambar secantik lukisan” menjelaskan bahawa kata-kata, gambaran atau pujian biasa tidak cukup untuk menggambarkan keistimewaan seseorang itu.

Buat seketika, lupakan dahulu segala polemik, perbincangan dan isu yang berkaitan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Tulisan saya ini bukan tentang siapa yang betul atau siapa yang salah. Ia bukan juga tentang politik atau perbezaan pandangan.

Tulisan ini adalah tentang satu perkara yang saya saksikan sendiri di hadapan mata.

Di sela-sela ketegangan dan kekecohan yang berlaku pada hari Jumaat, 5 Jun 2026, ada seseorang yang memperlihatkan sesuatu yang semakin jarang ditemui pada hari ini. Ada satu perkara yang paling menarik perhatian saya sebagai wartawan yang bertugas di lapangan ketika itu. Saya melihat seorang negarawan yang kekal tenang, santun dan penuh adab dalam setiap tutur katanya.

Tokoh tersebut ialah Rais Yatim.

Dalam suasana yang penuh emosi dan pelbagai reaksi, beliau tetap memperlihatkan ketenangan yang luar biasa. Ketika berdepan dengan petugas polis yang menjalankan tugas mereka, beliau tidak memilih untuk meninggikan suara atau menunjukkan kemarahan. Sebaliknya, beliau menyampaikan pandangan dan teguran dengan penuh tertib, berhemah dan berlapik.

Ketika berhadapan dengan petugas polis, Rais Yatim tidak terus bercakap tentang kuasa, kedudukan atau pengaruh. Sebaliknya, beliau mengingatkan tentang adab dan budi bahasa.

Antara kata-kata yang masih saya ingat ialah apabila beliau berkata, “𝘐𝘯𝘪 𝘗𝘰𝘭𝘪𝘴 𝘋𝘪𝘳𝘢𝘫𝘢 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘴𝘪𝘢, 𝘪𝘯𝘪 𝘥𝘪 𝘩𝘢𝘥𝘢𝘱𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘮𝘶𝘢 𝘙𝘢𝘫𝘢 𝘯𝘪,” sambil menunjukkan kepada para Undang yang berada di situ.

Beliau juga mempersoalkan tindakan yang diambil dengan cara yang tegas tetapi tetap berlapik.

“𝘗𝘋𝘙𝘔 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘴𝘪𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘢𝘩𝘢𝘯 𝘜𝘯𝘥𝘢𝘯𝘨 𝘓𝘶𝘢𝘬 𝘑𝘦𝘭𝘦𝘣𝘶, 𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘉𝘦𝘴𝘢𝘳 𝘛𝘢𝘮𝘱𝘪𝘯, 𝘴𝘢𝘺𝘢, 𝘱𝘦𝘨𝘶𝘢𝘮 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘯𝘢𝘬 𝘣𝘦𝘳𝘵𝘦𝘮𝘶 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘕𝘢𝘥𝘻𝘢𝘳𝘶𝘥𝘥𝘪𝘯.”

Namun yang paling menarik perhatian saya ialah apabila beliau berkata,

“𝘔𝘢𝘯𝘰 𝘱𝘦𝘳𝘨𝘪 𝘣𝘶𝘥𝘪 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘴𝘰 𝘵𝘶𝘢𝘯-𝘵𝘶𝘢𝘯? 𝘑𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘤𝘢𝘬𝘢𝘱 𝘶𝘯𝘥𝘢𝘯𝘨-𝘶𝘯𝘥𝘢𝘯𝘨. 𝘞𝘩𝘢𝘵 𝘭𝘢𝘸 𝘢𝘳𝘦 𝘺𝘰𝘶 𝘨𝘰𝘪𝘯𝘨 𝘵𝘰 𝘵𝘢𝘭𝘬 𝘢𝘣𝘰𝘶𝘵? 𝘈𝘱𝘢 𝘭𝘢𝘸 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘢𝘩𝘢𝘯 𝘬𝘢𝘮𝘪?”

Walaupun jelas beliau tidak bersetuju dengan apa yang berlaku, teguran yang diberikan masih berteraskan adab dan akal budi. Beliau tidak memilih untuk menghina atau mengeluarkan kata-kata kesat. Sebaliknya, beliau mengajak pihak yang berhadapan dengannya untuk kembali kepada prinsip hormat-menghormati dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Malah dalam nada yang penuh makna, beliau turut menggunakan peribahasa dan ungkapan tradisional yang memperlihatkan kecintaan beliau terhadap bahasa dan budaya Melayu.

“𝘔𝘦𝘯𝘦𝘳𝘶𝘴𝘬𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘫𝘶𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘪𝘯𝘪 𝘴𝘶𝘱𝘢𝘺𝘢 𝘵𝘦𝘳𝘭𝘦𝘵𝘢𝘬 𝘣𝘢𝘭𝘪𝘬 𝘢𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘦𝘱𝘢𝘵𝘶𝘵𝘯𝘺𝘢, 𝘬𝘰𝘬 𝘴𝘰𝘯𝘨𝘬𝘰𝘬 𝘥𝘪 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘭𝘰, 𝘬𝘰𝘬 𝘱𝘢𝘬𝘢𝘪𝘢𝘯 𝘥𝘪 𝘣𝘢𝘥𝘢𝘯, 𝘬𝘰𝘬 𝘬𝘢𝘴𝘶𝘵𝘯𝘺𝘢 𝘥𝘪 𝘬𝘢𝘬𝘪.”

Ketika bercakap kepada media dari sebalik pagar besi, beliau juga menyifatkan keadaan yang berlaku sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan.

“𝘚𝘢𝘢𝘵 𝘪𝘯𝘪 𝘱𝘶𝘯 𝘴𝘦𝘮𝘢𝘴𝘢 𝘴𝘢𝘺𝘢 𝘣𝘦𝘳𝘵𝘶𝘵𝘶𝘳 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘱𝘢𝘳𝘢 𝘮𝘦𝘥𝘪𝘢 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘢𝘯𝘵𝘢𝘳𝘢𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘴𝘪, 𝘪𝘯𝘪 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘴𝘦𝘴𝘶𝘢𝘵𝘶 𝘨𝘢𝘮𝘣𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘩𝘴𝘺𝘢𝘵 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘦𝘳𝘭𝘢𝘬𝘶.”

Saya membayangkannya seperti seorang bapa yang sedang berdepan dengan anak yang melakukan kesilapan. Seorang bapa mungkin marah dan kecewa, namun kerana kasih sayang dan keinginan untuk memperbetulkan keadaan, dia memilih untuk menahan kata-kata yang keras dan tidak bertindak mengikut emosi. Dia memilih untuk mendidik, bukan menghukum.

Begitulah yang saya lihat pada Rais Yatim. Beliau boleh sahaja meninggikan suara. Beliau boleh sahaja mengeluarkan kata-kata yang lebih keras. Namun beliau memilih untuk mengawal keadaan dengan kebijaksanaan dan adab. Ketegasan beliau hadir tanpa kemarahan, dan teguran beliau disampaikan tanpa menjatuhkan maruah sesiapa.

Yang lebih menarik perhatian saya ialah keindahan bahasa yang digunakan. Bahasa Melayunya begitu tinggi, tersusun dan tersirat dengan nilai budaya. Setiap patah perkataan dipilih dengan cermat. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Inggerisnya juga cukup mengagumkan fasih, kemas dan penuh wibawa.

Namun yang menjadikan tutur katanya istimewa bukan sekadar kehebatan bahasa itu sendiri, tetapi nilai hormat dan adab yang terserlah di sebalik setiap ungkapan.

Sebagai wartawan yang berada di lokasi dan menyaksikan sendiri kejadian tersebut, saya benar-benar kagum. Pada hari itu, saya bukan sekadar melihat seorang ahli politik atau budayawan. Saya melihat seorang tokoh yang membuktikan bahawa dalam keadaan paling tegang sekalipun, budi bahasa masih boleh menjadi kekuatan yang paling ampuh.

Ada satu lagi momen kecil pada hari tersebut yang membuatkan saya tak boleh lupa.

Sebenarnya seawal jam 9 pagi, saya sudah berada di Balai Kediaman Rasmi YTM Tunku Besar Tampin untuk membuat liputan dan siaran langsung. Dari situ, saya bergerak pula ke Parkroyal A’Famosa Melaka untuk meneruskan tugasan. Dalam keadaan yang agak kelam-kabut, belum sempat makan atau minum, dan perlu bersiaran secara langsung berterusan sepanjang hari, memang terasa penatnya.

Namun di tengah-tengah kesibukan dan kekecohan itu, Rais Yatim sempat menegur saya.

“𝘞𝘢𝘩, 𝘺𝘰𝘶 𝘭𝘢𝘥𝘺, 𝘷𝘦𝘳𝘺 𝘳𝘢𝘫𝘪𝘯 𝘺𝘢. 𝘋𝘢𝘳𝘪 𝘱𝘢𝘨𝘪 𝘭𝘢𝘨𝘪.”

Mungkin bagi sesetengah orang ia sekadar sapaan ringkas. Tetapi bagi saya yang sudah berjam-jam berada di lapangan, kata-kata itu cukup bermakna. Hilang rasa penat seketika, malah menambah semangat untuk meneruskan tugas.

Yang menarik perhatian saya bukan sekadar pujian tersebut, tetapi cara beliau menyampaikannya. Beliau menggunakan perkataan “lady” dengan begitu natural dan penuh hormat. Ada nilai kesantunan dan kelas tersendiri pada cara beliau berkomunikasi. Dalam era yang semakin kurang menitikberatkan adab berbahasa, beliau masih memilih ungkapan yang lembut, sopan dan menyenangkan hati orang yang mendengarnya.

Mungkin itulah yang membezakan seorang budayawan dan negarawan. Bukan hanya kemampuan berpidato di pentas besar, tetapi keupayaan menghargai orang di sekeliling melalui kata-kata yang sederhana, namun meninggalkan kesan yang mendalam.

Sejujurnya, saya terharu dengan cara beliau. Bukan kerana pujian yang diberikan, tetapi kerana penghargaan itu datang daripada seorang tokoh yang begitu saya hormati.

Dalam kesibukan hari yang penuh dengan pelbagai urusan dan perhatian tertumpu kepada peristiwa besar yang sedang berlangsung, beliau masih sempat menyedari kehadiran petugas media yang sejak awal pagi berada di lapangan. Perkara itu mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi saya ia menggambarkan kehalusan budi dan kepekaan seorang insan terhadap orang di sekelilingnya.

Saya semakin memahami mengapa ramai yang menghormati Rais Yatim. Bukan semata-mata kerana ilmunya, kedudukannya atau kehebatannya berbahasa, tetapi kerana beliau memiliki sesuatu yang semakin sukar ditemui pada hari ini iaitu adab.

Adab ketika bercakap, adab ketika berbeza pandangan, dan adab ketika berinteraksi dengan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan.

Sebagai wartawan, saya berpeluang bertemu ramai tokoh pemimpin negara. Namun pengalaman pada hari itu meninggalkan kesan yang tersendiri. Rasa hormat saya terhadap beliau bukan lahir daripada apa yang saya dengar tentang dirinya, tetapi daripada apa yang saya saksikan sendiri.

Pengalaman ini turut membawa saya kembali kepada zaman persekolahan. Saya masih ingat bagaimana ayah sering menyebut nama Rais Yatim dengan penuh hormat. Ayah selalu berkata bahawa beliau mempunyai bahasa yang tinggi, indah dan luar biasa. Pada waktu itu, sebagai seorang anak yang masih muda, saya mendengar tetapi mungkin belum benar-benar memahami maksud di sebalik pujian tersebut.
Namun selepas menyaksikan sendiri beliau berbicara dan berinteraksi pada hari bersejarah itu, saya akhirnya mengerti apa yang dimaksudkan oleh ayah selama ini.

Keindahan bahasa bukan sekadar terletak pada pemilihan perkataan yang hebat atau susunan ayat yang sempurna. Lebih daripada itu, ia terpancar melalui adab, kebijaksanaan dan kehalusan budi dalam menyampaikan pandangan, terutama ketika berdepan dengan situasi yang mencabar.

Mungkin sebab itulah mereka yang benar-benar mencintai bahasa akan sentiasa mengenali dan menghargai mereka yang memartabatkan Bahasa Melayu dengan baik. Kerana bahasa yang indah bukan sekadar sedap didengar, tetapi mampu mencerminkan peribadi, akhlak dan jiwa seseorang.

Tidak banyak tokoh yang mampu mengekalkan kesantunan dalam saat-saat yang mencabar. Bagi saya, itulah gambaran seorang budayawan dan negarawan yang sebenar, bukan sekadar petah berbicara tentang nilai dan budaya, tetapi mempraktikkannya di hadapan khalayak.

𝗝𝗮𝗻𝗻𝗮𝗵 𝗝𝗮𝗹𝗶𝗱𝗮𝗿
𝗕𝗮𝗻𝗴𝗶
7 𝗝𝘂𝗻 2026

(Nota kaki : Tan Sri Dr Rais Yatim merupakan seorang negarawan, budayawan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan (1978–1982), bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, ahli perundangan serta antara tokoh yang paling sinonim dengan kajian bahasa Melayu dan Adat Perpatih di Negeri Sembilan)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat