Penubuhan AKM langkah signifikan perkasa jati diri – Mustapha

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Penubuhan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) merupakan langkah signifikan dalam memperkasa jati diri rakyat, memupuk semangat patriotisme serta meningkatkan kefahaman terhadap asas kenegaraan, khususnya dalam kalangan generasi muda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Mustapha berkata dalam era globalisasi yang mencabar, nilai kenegaraan perlu terus
diperkukuh agar rakyat kekal berpegang kepada prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan serta menghargai sejarah dan kedaulatan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat AKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan, Mohamad Shukri Nawi; Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU JPM) Wilayah Persekutuan, Megat Azlani Megat Ramli; dan Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Wilayah Persekutuan, Saiful Yusnor Mohd Yusuf.

Menurut Mustapha, AKM juga berperanan penting dalam menyebarluaskan elemen kenegaraan secara inklusif merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat di setiap wilayah.

“Pelaksanaan program-program tersusun oleh AKM mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan integrasi nasional, sekali gus merapatkan jurang persefahaman dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, ”katanya lagi.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif Gelombang Aku Kasih Malaysia yang telah dilancarkan pada 3 April lalu, dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh nilai kemanusiaan, keharmonian dan kesejahteraan sosial masyarakat.

“Program ini dilaksanakan secara kolaboratif bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan impak yang menyeluruh kepada rakyat.

“Kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat, termasuk melalui inisiatif seperti Program BUDI MADANI 95 serta usaha berterusan memastikan kestabilan bekalan makanan dan kesejahteraan ekonomi rakyat dalam menghadapi cabaran global semasa.

“AKM memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia yang berteraskan persefahaman, kepercayaan dan semangat kebersamaan antara wilayah, ”ujarnya.

Ujarnya lagi, AKM Wilayah Persekutuan juga dilihat sebagai jambatan penting dalam menghubungkan kefahaman antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara inklusif dan menyeluruh.

“AKM Wilayah Persekutuan diharap akan terus menjadi pusat kecemerlangan dalam meneraju pendidikan kenegaraan serta melahirkan generasi yang berfikiran kritis, berdaya tahan dan bersemangat patriotik tinggi, ”tambahnya.

“Semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat diseru untuk bersama-sama berganding bahu dalam memperkukuh pembinaan negara bangsa, ”tambahnya lagi.

Dalam majlis yang penuh bermakna dan bersejarah itu beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada AKM atas kejayaan berterusan dalam memperkukuh agenda pembangunan negara bangsa. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat