JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai pemimpin muda luar biasa yang berjaya membuktikan kemampuan mentadbir negeri besar seperti Johor.
Ahmad Zahid berkata, walaupun pelantikan Onn Hafiz pada awalnya diragui sesetengah pihak, prestasi yang ditunjukkan beliau membuktikan anak muda itu mampu membawa Johor ke tahap lebih baik.
“Ini anak muda luar biasa. Darah Allahyarham Datuk Onn Jaafar tetap mengalir dalam badan beliau,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Johor.
Beliau berkata, Onn Hafiz mewarisi legasi perjuangan besar keluarga termasuk Allahyarham Datuk Onn Jaafar, pejuang kemerdekaan dan pengasas UMNO, selain mempunyai pertalian dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.
Ahmad Zahid turut memuji keberanian Onn Hafiz membuat keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat kerana Bangsa Johor merupakan hakim tertinggi dalam proses demokrasi negeri itu.
Katanya, rakyat Johor berhak menentukan kerajaan yang mereka mahu, memilih pentadbiran yang mampu membawa kestabilan serta menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai menabur janji.
“Saya berbangga dengan prestasi Datuk Onn Hafiz. Saya meneliti apa yang Datuk Onn buat.
“Inilah anak muda yang bangun subuh dan berjemaah di masjid-masjid,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, janji Onn Hafiz jelas iaitu membawa Bangsa Johor membangun di negeri sendiri melalui pelbagai inisiatif yang mampu mencipta kehidupan lebih baik untuk rakyat.
Beliau berkata, Johor perlu menjadi contoh bukan sahaja dalam menarik pelaburan, tetapi juga mencipta pekerjaan dan membuka peluang kepada rakyat.
“Bukan sahaja membina projek besar, tetapi membuka peluang untuk rakyat.
“Bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi, tetapi juga membolehkan anak muda Johor menerima nikmat pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Johor.
“Inilah perjuangan sebenar Barisan Nasional,” katanya.


