Jenazah Mustapha Kamal Selamat Dikebumikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jenazah tokoh korporat, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang meninggal dunia pagi tadi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada kira-kira 3 petang tadi.

Jenazah Mustapha Kamal, 73, sebelum itu dimandi dan dikafankan di kediamannya pada kira-kira 2 petang sejurus selesai solat zohor di Jalan Petaling Jaya Utama, Damansara Perdana, di sini.

Suasana pilu turut dapat dirasai apabila ratusan ahli keluarga dan rakan-rakan hadir di tanah perkuburan berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Seri Wan Nong Wan Ibrahim dan empat anak iaitu Felina, Datuk Fazwirrna, Farah Mahami dan seorang anak lelaki Ahmad Khalif serta 15 cucu.

Mustapha Kamal meninggal dunia di Institut Jantung Negara, di sini, pada 7.45 pagi tadi kerana sakit tua.

Allahyarham merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik.

Syarikat hartanah miliknya itu ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.

Pada awal kerjayanya, siswazah Universiti Malaya dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA, antara lain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat