Misi Kemanusiaan HM4P Salur Bekalan Makanan Kepada 1,000 Keluarga Palestin

- Advertisement -

PETALING JAYA – Misi Humanitarian Mission 4 Palestin (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan, petang semalam.

Empat kem terbabit adalah Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

Sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian itu disampaikan Ketua Misi HM4P, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim merangkap Pengerusi BKUM di Kem Pelarian Palestin Al-Baqa’a.

Sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian yang mencukupi untuk tempoh selama sebulan bagi sesebuah keluarga pelarian itu, diagihkan dengan kerjasama Lajnah Zakat Jordan.

Yang hadir sama adalah wakil Lajnah Zakat Jordan di Al-Baqa’a, Hashim Muhammad Al-Titi dan Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

Kem Pelarian Palestin Al-Baqa’a antara kem pelarian padat di Amman dengan populasi lebih 200,000 pelarian Palestin yang majoritinya melarikan diri dari wilayah konflik itu pada 1948 selepas pembentukan negara haram Israel.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berharap sumbangan itu meringankan beban pelarian Palestin, termasuk ibu tunggal dan warga emas, ketika mereka turut berdepan kesusahan hidup akibat pandemik COVID-19.

“Kita agihkan 1,000 pek makanan dan barangan keperluan ini di empat kem pelarian sasaran.

“Oleh kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, maka proses agihan hanya dilakukan di Kem Al-Baqa’a dan bantuan selebihnya akan disalurkan Lajnah Zakat Jordan kepada kesemua 1,000 keluarga pelarian Palestin yang dibantu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelarian Palestin yang juga ibu tunggal, Nazwa al-Anali dari Khalel, 50, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan UMNO atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban pelarian Palestin di Jordan.

“Semoga bantuan ini bermanfaat untuk semua kerana keadaan sekarang tidak bagus. Insya-Allah,” katanya yang dilahirkan di Kem Al-Baqa’a pada 1971 selepas ibu bapanya diusir dari tanah Palestin pada 1948 oleh rejim Israel.

Statistik Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyatakan terdapat lebih dua juta pelarian Palestin berdaftar dengan badan dunia itu dan menerima bantuan langsung darinya untuk kelangsungan hidup.

Abdul Azeez yang mengetuai lima anggota HM4P tiba di Jordan sejak Sabtu lalu sebelum bertolak ke Kaherah hari ini untuk bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir, yang dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat