RICOH: AI bukan lagi pilihan, tetapi Keperluan baru dunia perniagaan

Jika beberapa tahun lalu kecerdasan buatan (AI) hanya dianggap sebagai teknologi masa depan yang menarik untuk dibincangkan dalam seminar atau forum industri, hari ini realitinya jauh berbeza. AI bukan lagi sekadar satu pilihan tambahan yang boleh dipertimbangkan apabila sesebuah organisasi mempunyai lebihan bajet atau masa untuk bereksperimen. Dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, AI kini dilihat sebagai keperluan baru dunia perniagaan bagi memastikan organisasi terus cekap, tangkas dan berdaya saing.

Mesej inilah yang cuba diketengahkan oleh RICOH Malaysia menerusi acara “RICOH Empowering AI Smarter Work, Real Impact” yang berlangsung di M World Hotel, Petaling Jaya. Berbeza dengan persepsi umum yang sering mengaitkan AI dengan teknologi kompleks atau pelaburan berskala besar, RICOH memilih untuk membawa perbincangan kepada perkara yang lebih dekat dengan realiti organisasi hari ini bagaimana AI boleh digunakan secara praktikal untuk menyelesaikan cabaran sebenar dalam operasi harian.

Dalam dunia perniagaan moden, tekanan yang dihadapi organisasi semakin meningkat. Kos operasi terus bertambah, persaingan menjadi lebih sengit dan pelanggan mengharapkan perkhidmatan yang lebih pantas serta berkualiti. Dalam keadaan sedemikian, bergantung sepenuhnya kepada proses manual bukan lagi satu pilihan yang mampan. Organisasi memerlukan cara baru untuk bekerja dengan lebih pintar tanpa menambah beban sumber manusia atau meningkatkan kos secara mendadak.

Ketua Pegawai Digital RICOH APAC, Satoshi Tsugane, berkata perbincangan mengenai AI perlu bergerak melangkaui persoalan sama ada teknologi itu perlu digunakan atau tidak. Sebaliknya, tumpuan harus diberikan kepada bagaimana AI dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan nilai yang nyata kepada perniagaan.

Menurut beliau, AI bukan lagi teknologi yang hanya wujud dalam makmal penyelidikan atau sekadar menjadi bahan perbincangan dalam persidangan teknologi. Ia telah pun digunakan dalam pelbagai industri bagi membantu organisasi membuat keputusan dengan lebih pantas, meningkatkan ketepatan operasi dan mempercepatkan aliran kerja.

Namun, beliau mengingatkan bahawa organisasi tidak seharusnya menggunakan AI semata-mata kerana tidak mahu ketinggalan dalam arus perubahan.

“Jangan menggunakan AI hanya kerana ia popular. Apa yang lebih penting ialah mengenal pasti masalah sebenar yang ingin diselesaikan. Teknologi perlu memberikan impak yang boleh diukur dan mewujudkan nilai kepada pelanggan,” katanya.

Kenyataan itu mencerminkan perubahan besar dalam pendekatan organisasi terhadap AI. Jika sebelum ini banyak syarikat berlumba-lumba memperkenalkan teknologi baharu kerana bimbang dianggap ketinggalan, kini semakin ramai pemimpin perniagaan mula bersikap lebih matang dengan bertanya bagaimana teknologi tersebut boleh meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko dan menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang.

Dalam sektor pembuatan, misalnya, pemeriksaan kualiti sering bergantung kepada tenaga manusia yang perlu memeriksa produk satu demi satu. Walaupun pengalaman dan kemahiran pekerja sangat penting, faktor keletihan dan had kemampuan manusia tidak dapat dielakkan. Dengan bantuan sistem pemeriksaan pintar berasaskan AI, proses ini dapat dilakukan secara lebih konsisten dan tepat, sekali gus mengurangkan risiko kecacatan produk terlepas daripada pengesanan.

Dalam sektor logistik pula, keperluan untuk menyelaraskan inventori, penghantaran dan operasi gudang memerlukan keputusan dibuat dalam masa yang singkat. AI mampu membantu organisasi menganalisis maklumat daripada pelbagai sumber secara serentak dan membolehkan tindakan diambil dengan lebih cepat.

Persekitaran pejabat juga tidak terkecuali daripada perubahan ini. Pengurusan dokumen, e-mel, laporan dan maklumat dalaman yang semakin bertambah sering menyebabkan pekerja menghabiskan banyak masa mencari maklumat yang diperlukan. Teknologi AI kini berupaya membantu menyusun, memahami dan mengekstrak maklumat penting dengan lebih cekap, membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugas yang lebih strategik.

Walaupun manfaatnya semakin jelas, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia masih melihat AI sebagai sesuatu yang sukar dicapai. Bagi mereka, persoalan utama bukan mengenai potensi teknologi itu, tetapi kos pelaksanaannya.

Pengarah Urusan RICOH Malaysia, Alice Lee, mengakui kebimbangan tersebut merupakan antara perkara paling kerap dibangkitkan oleh pelanggan.

Menurut beliau, ramai pemilik perniagaan bertanya sama ada mereka perlu terus melaksanakan AI atau memulakan transformasi melalui digitalisasi terlebih dahulu.

“Saya selalu katakan, jangan letakkan kereta di hadapan kuda. Anda perlu membina asas terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa digitalisasi perlu menjadi langkah pertama sebelum organisasi bersedia memanfaatkan AI secara optimum. Organisasi perlu memastikan proses kerja mereka tersusun, data dikumpulkan dengan baik dan budaya kerja bersedia menerima perubahan.

“Anda perlu membangunkan data terlebih dahulu. Kemudian, anda hanya perlu menambah lapisan kecerdasan iaitu AI. Lakukan satu demi satu. Lakukan dengan betul, kemudian berkembang. Jangan cuba melaksanakan semuanya dalam satu masa,” katanya.

Pendekatan ini dilihat lebih realistik khususnya bagi PKS yang sering berdepan kekangan kewangan dan sumber manusia. Ia juga selari dengan aspirasi negara melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menyasarkan pembangunan 3,000 kilang pintar di seluruh negara sebagai usaha memperkukuhkan daya saing industri tempatan.

Namun begitu, cabaran terbesar bukanlah untuk mendapatkan teknologi yang paling canggih. Sebaliknya, ia terletak pada keberanian organisasi untuk memulakan perubahan.

Ramai pemimpin perniagaan masih teragak-agak kerana bimbang pelaburan dalam AI tidak memberikan pulangan segera. Persoalan mengenai pulangan pelaburan atau ROI sering menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan.

Bagi Alice, nilai AI tidak sepatutnya dinilai semata-mata berdasarkan keuntungan jangka pendek.

“Penjimatan masa memang penting dan ROI juga penting, tetapi ia memerlukan masa. Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar,” katanya.

Beliau memberi contoh situasi dalam pemeriksaan kualiti produk. Sekiranya kecacatan gagal dikesan sebelum produk dihantar kepada pelanggan luar negara, syarikat bukan sahaja menanggung kerugian kewangan, malah berisiko kehilangan pelanggan dan menjejaskan reputasi yang dibina selama bertahun-tahun.

Dalam keadaan seperti itu, nilai sebenar AI bukan sekadar jumlah wang yang dapat dijimatkan, tetapi risiko yang berjaya dielakkan.

Namun, apabila berbicara tentang AI, persoalan yang paling sering dibangkitkan oleh masyarakat ialah mengenai masa depan pekerjaan manusia.

Adakah AI akan menggantikan pekerja?

Alice menjawab persoalan itu dengan jujur.

“Ya, AI akan menggantikan sebahagian operasi yang kita lakukan hari ini,” katanya.

Menurut beliau, tugas-tugas berulang seperti menyediakan laporan, memproses maklumat atau melakukan kerja pentadbiran tertentu berkemungkinan besar akan diambil alih oleh teknologi.

Tetapi itu tidak bermaksud manusia tidak lagi diperlukan.

“AI tidak boleh menggantikan nilai manusia,” tegasnya.

Sebaliknya, AI perlu dilihat sebagai alat yang membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugasan yang memerlukan kreativiti, pertimbangan, empati dan penyelesaian masalah.

Satoshi turut berkongsi pandangan yang sama apabila menyifatkan AI pada masa ini sebagai pembantu yang sangat baik kepada manusia.

“AI boleh mengurangkan kerja-kerja yang membosankan dan berulang. Ia memberi lebih banyak masa kepada pekerja untuk melakukan kerja yang lebih pintar dan bernilai tinggi,” katanya.

Bagi memastikan penyelesaian yang diperkenalkan benar-benar bersedia untuk digunakan, RICOH mengamalkan konsep “Customer Zero”, iaitu menggunakan sendiri teknologi yang dibangunkan sebelum diperkenalkan kepada pelanggan.

Menurut Alice, pendekatan tersebut membolehkan syarikat memahami sendiri cabaran, kelemahan dan masalah yang mungkin timbul sepanjang proses penggunaan.

“Kami menggunakan teknologi itu terlebih dahulu. Kami belajar daripada pengalaman tersebut sebelum membawanya ke pasaran,” katanya.

Dalam era AI yang semakin berkembang, isu keselamatan data turut menjadi perhatian utama. Organisasi kini menguruskan pelbagai bentuk maklumat sensitif yang perlu dilindungi daripada penyalahgunaan atau kebocoran.

Oleh itu, penggunaan AI perlu disertai dengan tadbir urus yang baik, kawalan keselamatan yang kukuh dan tahap ketelusan yang tinggi dalam cara data diproses serta digunakan.

Akhirnya, perubahan yang dibawa oleh AI bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu. Ia turut menuntut perubahan cara berfikir, budaya kerja dan pendekatan kepimpinan dalam organisasi.

Organisasi yang akan berjaya pada masa hadapan bukan semestinya yang mempunyai teknologi paling canggih, tetapi mereka yang mampu mengenal pasti masalah sebenar, berani berubah dan menggunakan teknologi secara bijaksana untuk menghasilkan nilai.

Dalam dunia perniagaan yang berubah dengan begitu pantas, ancaman terbesar bukanlah AI itu sendiri. Ancaman sebenar ialah apabila organisasi memilih untuk terus berada dalam zon selesa kerana takut untuk bermula.

Hakikatnya, AI bukan lagi sesuatu yang boleh ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada masa akan datang. Ia telah menjadi sebahagian daripada realiti operasi moden.

Persoalannya kini bukan sama ada organisasi perlu menerima AI, tetapi sejauh mana mereka bersedia untuk belajar, menyesuaikan diri dan memanfaatkannya demi membina perniagaan yang lebih tangkas, produktif dan berdaya saing.

Kerana dalam era baharu ini, AI bukan lagi pilihan. Bagi dunia perniagaan, ia sudah menjadi satu keperluan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat