Penarikan gelaran Tunku Nadzaruddin tidak sah, bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan – Peguam

SEREMBAN – Tindakan mengisytiharkan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar bukan lagi penyandang gelaran pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan didakwa tidak sah dan bertentangan dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UTNS).

Seorang peguam yang mengikuti rapat perkembangan krisis perlembagaan Negeri Sembilan berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja pada Isnin lalu menimbulkan persoalan serius mengenai asas undang-undang yang digunakan untuk mengisytiharkan kekosongan gelaran pusaka tersebut.

Menurut beliau, UTNS mempunyai peruntukan yang jelas mengenai kuasa berkaitan gelaran, kehormatan dan darjah kebesaran negeri.

“Perkara XXVI Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Besar adalah sumber segala kehormatan, kemuliaan, gelaran, darjah kebesaran dan pingat dalam negeri, namun pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dibuat selepas berunding dengan Undang Yang Empat.

“Perkara XXVII pula memperuntukkan bahawa penarikan balik sesuatu gelaran, darjah kebesaran atau pingat juga hanya boleh dibuat selepas berunding dengan Undang Yang Empat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Pengelola Bijaya Diraja yang mendakwa istiadat pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang serta adat istiadat Negeri Sembilan.

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa dengan menerima gelaran tersebut, Tunku Nadzaruddin telah “dengan sendirinya melepaskan” gelaran pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.

Menurut peguam berkenaan, persoalan utama yang timbul ialah sama ada terdapat sebarang keputusan rasmi yang dibuat mengikut proses yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan.

“Setakat yang diketahui umum, tiada sebarang pengumuman bahawa Undang Yang Empat telah dirundingi atau membuat keputusan berhubung pelucutan gelaran tersebut.

“Jika gelaran itu benar-benar telah ditarik balik atau dianggap kosong, pihak yang membuat kenyataan perlu menjelaskan apakah asas undang-undang atau adat yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun gelaran Tunku Panglima Besar mempunyai kedudukan tersendiri dalam struktur adat dan institusi Putera Yang Empat Negeri Sembilan, prinsip yang termaktub dalam Perkara XXVI dan XXVII menunjukkan bahawa soal gelaran dan kehormatan negeri bukan perkara yang boleh diputuskan secara unilateral oleh mana-mana pihak.

“Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan meletakkan Undang Yang Empat sebagai sebahagian daripada proses berkaitan penganugerahan dan penarikan gelaran.

“Justeru, dakwaan bahawa seseorang telah kehilangan gelaran pusaka secara automatik perlu disokong dengan asas perlembagaan dan adat yang jelas,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa kenyataan tersebut berisiko menimbulkan kekeliruan kepada rakyat kerana ia dibuat ketika krisis perlembagaan Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian muktamad.

“Pada masa ini terdapat beberapa pertikaian asas yang masih belum diselesaikan, termasuk berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan kesahan tindakan pelbagai pihak dalam krisis ini.

“Dalam keadaan sedemikian, sebarang dakwaan bahawa sesuatu gelaran pusaka telah terlucut perlu disokong oleh proses yang telus dan selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sehingga kini persoalan mengenai kesahan tindakan tersebut masih terbuka untuk diperdebatkan dan memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat