Akmal fail semakan kehakiman terhadap AG, dakwa pendakwaan terpilih, layanan tidak konsisten – peguam

KUALA LUMPUR – Firma guaman yang mewakili Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Peguam Negara (AG) bagi mencabar, antara lainnya, keputusan untuk mendakwa beliau di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam (Kes Jenayah No. PC-83-638-08/2025).

Tetuan Aizat Izuan Shakeel memaklumkan, permohonan tersebut difailkan menurut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan antara isu utama yang dibangkitkan adalah berhubung dakwaan berlakunya pendakwaan terpilih, layanan yang tidak konsisten terhadap individu-individu yang berada dalam keadaan yang serupa, serta persoalan sama ada tindakan pendakwaan tersebut adalah selaras dengan jaminan kesamarataan di sisi undangundang sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan ini tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai usaha mempertahankan kepentingan peribadi anak guam kami.

“Sebaliknya, ia turut membangkitkan persoalan yang lebih besar mengenai sistem/konsep pendakwaan jenayah negara serta keperluan agar kuasa pendakwaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi atau persepsi pengaruh politik.

“Dalam sebuah negara demokrasi yang berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang, keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pendakwaan hanya dapat dipelihara apabila undangundang dilaksanakan secara sama rata terhadap semua pihak tanpa mengira latar belakang, kedudukan, pegangan politik atau hubungan mereka dengan mana-mana pihak yang memegang kuasa,” kata firma itu dalam kenyataan pada Khamis.

Tetuan Aizat Izuan Shakeel memberitahu, Akmal berpendirian bahawa kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan hendaklah sentiasa dipelihara selaras dengan batasan yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Walau bagaimanapun, sebarang tindakan penguatkuasaan yang dilihat tidak konsisten berisiko menimbulkan persepsi bahawa terdapat layanan yang berbeza terhadap individu-individu tertentu berdasarkan pandangan atau pendirian politik mereka.

“Persepsi sedemikian, jika tidak ditangani, berpotensi menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan yang menjadi asas kepada sistem perundangan negara. Permohonan Semakan Kehakiman tersebut telah difailkan pada 27 Februari 2026 dan didaftarkan sebagai Permohonan Bagi Semakan Kehakiman No. PA-25-7-02/2026 di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Kertas-kertas kausa berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 9 Jun 2026. Sila ambil maklum bahawa Permohonan tersebut telah ditetapkan untuk pendengaran secara fizikal di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 16 Jun 2026.

“Memandangkan perkara ini kini berada di hadapan mahkamah, anak guam kami akan terus menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan dan meletakkan keyakinan penuh kepada mahkamah Yang Mulia untuk menimbangkan serta memutuskan isu-isu yang dibangkitkan berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut firma itu lagi, permohonan ini pada hakikatnya bukan sekadar mengenai seorang individu, tetapi mengenai prinsip bahawa keadilan hendaklah bukan sahaja dilaksanakan, malah mesti dilihat dilaksanakan secara sama rata terhadap semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat