Kes Sporadik Masih Tinggi, Penularan VOC Meningkat – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kes sporadik terus kekal tinggi dan bilangan kluster COVID-19 juga semakin bertambah setiap hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Lembah Klang antara kawasan memiliki populasi tinggi yang terdedah risiko bahaya kepada kewujudan banyak kes sporadik dalam komuniti, selain kebanyakan kes COVID-19 membabitkan individu tidak bergejala.

“Dengan erti kata lain, sukar bagi kita mengetahui siapa yang mempunyai COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, penularan VOC (varian membimbangkan) juga semakin meningkat.

“Jadi, adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya COVID-19,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, semalam.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihati masyarakat terus konsisten mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).

Beliau turut menyarankan masyarakat mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai satu daripada langkah mendepani peningkatan kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak serta berisiko tinggi.

Sementara itu, pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata pengesanan kes jangkitan COVID-19 secara berkala dan dilakukan secara meluas menerusi ujian saringan antara langkah disarankan untuk membendung penularan meluas kes sporadik.

Beliau berkata, sebagai galakan untuk orang ramai melakukan ujian saringan sama ada di fasiliti kesihatan ataupun secara kendiri, kerajaan perlu campur tangan dengan cara memberikan subsidi.

Katanya, harga ujian saringan terlalu mahal membuatkan bukan saja individu, malah syarikat juga tidak melakukan saringan dengan lebih kerap.

“Dikatakan kes sporadik adalah hampir 80 peratus daripada kes COVID-19 yang dikesan. Ini menunjukkan kes COVID-19 berleluasa dalam komuniti tanpa dikesan dan boleh menyebabkan kes ‘brought in dead’ (BID) yang merujuk kes kematian di luar fasiliti kesihatan tanpa diketahui.

“Kelemahan dalam sistem pengesanan kes dan kontak adalah antara faktor mengapa kes sporadik berlaku. Penularan ini berbahaya dan kesannya besar kerana kes berlaku tanpa dikesan.

“Untuk menurunkan kes, kita mesti terus mengesan kes baharu ini. Saringan memerlukan kos tinggi, memerlukan jumlah tenaga kerja yang ramai dan koordinasi yang baik antara organisasi.

“Tidak semua negeri dan tempat kerja melakukan saringan COVID-19, maka galakan untuk melakukan saringan adalah perlu. Kerajaan mungkin boleh membantu dengan memberi subsidi,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat berkata, di tempat berisiko tinggi, orang ramai digalak melakukan ujian saringan dua minggu sekali.

Selain itu, beliau menyarankan negeri merekodkan kes sporadik tinggi misalnya Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor perlu memperhebatkan program saringan serta vaksinasi.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi, pula berkata, penutupan operasi kilang akibat kes atau kluster dari industri itu bukan langkah mudah kerana ia membabitkan ekonomi.

Susulan itu, beliau mencadangkan satu senarai semak perlu disediakan bagi setiap pekerja memastikan mereka hadir bekerja tanpa gejala dan mematuhi SOP ditetapkan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat