KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh sesuka hati mengusir pelarian Rohingya walaupun berdepan pelbagai desakan kerana isu itu melibatkan pertimbangan kemanusiaan, keselamatan dan tanggungjawab antarabangsa.
Pendekatan terhadap pelarian tidak boleh didorong oleh emosi atau sentimen semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira realiti yang menyebabkan mereka meninggalkan negara asal.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan yang diambil perlu bersifat pertimbangan keselamatan dan prinsip kemanusiaan yang seimbang.
Katanya, walaupun terdapat desakan memuncak dan naratif berbentuk emotif terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial yang mahu kumpulan itu diusir segera, tanggungjawab pentadbiran negara menuntut tindakan dan pertimbangan yang jelas.
“Kalau mereka ada pilihan, adakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita dirogol, identiti diri tidak diberikan, masjid dan kampung dimusnahkan.
“Dalam keadaan itu, apa pilihan mereka ada? Mereka sanggup menempuh lautan luas, dalam banyak-banyak negara, Malaysia menjadi destinasi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), lapor Utusan di Putrajaya, semalam.
Media melaporkan petisyen yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga. Semakan di laman web Change.org mendapati petisyen Remove Rohingya from Malaysia meraih hampir 450,000 tandatangan setakat kelmarin.
Petisyen dilancarkan akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa cari penyelesaian alternatif menangani kebanjiran pelarian Rohingya.
Saifuddin berkata, kerajaan tidak sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan negara, tetapi pertimbangan kemanusiaan juga tidak boleh diabaikan.
“Wujud fitnah kononnya kerajaan seolah-olah memberikan identiti diri secara sewenang-wenangnya kepada pelarian.
“Seolah-olah negara kita ini tidak ada sistem, tidak ada undang-undang. Macam negara koboi, begitu cuba digambarkan aspek keselamatan, tapi tidak, kita tidak akan berkompromi sama sekali
“Kita tidak boleh mengelak daripada menguruskannya. Kena uruskan dengan bijaksana, dengan ihsan tetapi tetap mengambil kira kepentingan keselamatan negara, rakyat dan kedudukan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Myanmar mengakui mempunyai MyKad.
Pada sidang akhbar selepas itu Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen mempergiat penguatkuasaan terhadap warga asing yang didapati menyalahguna pas lawatan sosial.
Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Imigresen tapi jika membabitkan lesen perniagaan dan premis perniagaan, itu agensi kawal selia yang berkenaan.
“Sebab itu, Perdana Menteri arahkan supaya satu tindakan bersepadu dapat dibuat dan ia mahu tindakan itu sekarang, tanpa tangguh. Itu keputusan Kabinet,” katanya menurut akhbar itu lagi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman, berpandangan pelarian berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) wajar diberi peluang bekerja secara sah bagi membantu menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor 3D, iaitu kotor, berbahaya dan sukar.
Peluang pekerjaan sah dan dikawal selia kepada pelarian termasuk Rohingya boleh membantu kerajaan mengurus isu komuniti itu dengan lebih berkesan, kata NGO hak asasi manusia.


