Akaun media sosial Aminuddin dihujani kecaman dan kritikan susulan pemasyhuran Tunku Zain

SEREMBAN –Akaun media sosial Menteri Besar Negeri Sembilan caretaker, Datuk Seri Aminuddin Harun dihujani kecaman dan kritikan susulan hantaran beliau yang mengucapkan tahniah kepada Tunku Dato’ Seri Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz atas pemasyhuran baginda sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan pada Khamis.

Dalam hantaran tersebut, Aminuddin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Tunku Zain Al-’Abidin dan menyifatkan pemasyhuran berkenaan sebagai satu penghormatan yang mencerminkan kepercayaan serta kedudukan tinggi baginda dalam institusi diraja Negeri Sembilan.

Namun, ruangan komen di bawah hantaran berkenaan pantas dipenuhi pelbagai reaksi negatif, dengan sebahagian besar pengguna media sosial mempertikaikan tindakan kerajaan negeri dan Aminuddin yang dilihat meraikan pemasyhuran tersebut ketika pertikaian melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan masih belum selesai.

Sehingga berita ini ditulis, hantaran itu telah menerima lebih 2,500 tanda suka, hampir 500 komen dan puluhan perkongsian.

Antara komen yang menerima sokongan tinggi ialah dakwaan bahawa tindakan tersebut dibuat terlalu tergesa-gesa ketika krisis berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih menjadi subjek pertikaian undang-undang.

“Cepat betul bertindak yang ada masalah ni pun tak selesai lagi,” tulis seorang pengguna Facebook yang menerima puluhan tanda suka.

Seorang lagi pengguna mendakwa tindakan itu “memalukan adat” dan menggesa supaya institusi tradisional Negeri Sembilan dihormati.

“Jangan lupa, tanah Negeri Sembilan ni tanah beradat. Ada Undang Yang Empat dan ada sistem yang perlu dihormati,” tulis seorang pengguna yang menerima lebih 100 tanda suka.

Turut mendapat perhatian ialah komen yang mempersoalkan sama ada pemasyhuran tersebut selari dengan adat dan amalan tradisi Negeri Sembilan.

“Apa gunanya ada Undang Yang Empat jika pandangan mereka tidak dipedulikan. Sistem adat akan rosak sedikit demi sedikit jika perkara ini berterusan,” kata seorang lagi pengguna.

Beberapa netizen turut mengaitkan isu tersebut dengan kemelut yang sedang berlaku antara pihak istana dan Undang Luak.

“Tindakan unilateral mantan YDPB,” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi menyifatkan situasi berkenaan sebagai “memalukan” dan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Selain mempersoalkan aspek adat dan perlembagaan, sebahagian pengguna turut mengkritik Aminuddin secara langsung kerana dianggap terlalu cepat memberikan sokongan terhadap pemasyhuran tersebut.

“Akaun rasmi kerajaan negeri sepatutnya lebih berhati-hati ketika isu ini masih diperdebatkan,” tulis seorang pengguna.

Malah terdapat komen yang mendakwa Negeri Sembilan sedang berdepan risiko kehilangan identiti sebagai “Negeri Beradat” sekiranya institusi adat tidak lagi diberikan peranan yang sewajarnya.

Dalam masa sama, beberapa pengguna turut mengungkit semula laporan lama mengenai dakwaan Tunku Zain Al-’Abidin pernah didekati DAP untuk menyertai politik lebih sedekad lalu, walaupun perkara itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan pemasyhuran terkini.

Bagaimanapun, tidak semua reaksi bersifat negatif.

Terdapat juga pengguna media sosial yang mengucapkan tahniah kepada Tunku Zain Al-’Abidin serta mendoakan baginda diberikan kesihatan, kesejahteraan dan kebijaksanaan dalam memikul amanah baharu.

“Alhamdulillah, tahniah Tunku Zain,” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi menyifatkan pemasyhuran tersebut sebagai satu penghormatan yang wajar diraikan.

Perkembangan itu berlaku ketika krisis melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan masih berlarutan susulan tindakan empat Undang Luak memfailkan tindakan undang-undang berhubung beberapa keputusan yang dibuat oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban mengeluarkan perintah injunksi sementara bagi mengekalkan status quo sementara pertikaian berhubung beberapa keputusan DKU didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

Pada Khamis, Tunku Zain Al-’Abidin dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dalam satu istiadat di Istana Besar Seri Menanti, namun perkembangan itu terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat negeri tersebut, khususnya di media sosial.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat