Arca Pualam angkat keunikan material geologi tempatan

Oleh Zihan Zari

IPOH – Program Arca Pualam anjuran Balai Seni Negara Cawangan Ipoh, Perak sebagai inisiatif mengangkat keunikan material geologi tempatan melalui pendekatan seni sezaman.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata program ini yang berlangsung dengan jayanya selama enam hari pada 18 hingga 23 Mei lalu dekat sini memberi fokus kepada penghasilan karya arca berasaskan batu kapur, iaitu khazanah alam yang sinonim dengan negeri ini.

Menariknya, program ini menghimpunkan tujuh orang seniman tempatan yang merupakan anak watan Perak dari pelbagai pendekatan seni yang berbeza.

Antaranya, Dr. Ramlan Abdullah (Taiping), Dr. Choong Kam Kow dan Tan Vooi Yam (Bercham), Daud Abdul Rahim (Lenggong), serta Raja Shahriman Raja Aziddin, Ibrahim Mohd Don dan Hilal Mazlan yang masing-masing dari Kuala Kangsar.

Turut terlibat dalam menjayakan program ini, Adib Ramlan, Amir Hakimie Mohd Nor, Zahir Ismail, Nazri Abdullah, Abdul Hamid Muhamad dan Iskandar Murad.

“Sepanjang program berlangsung, sebanyak tujuh arca telah berjaya dihasilkan, memperlihatkan kepelbagaian idea, pendekatan artistik serta interpretasi kreatif para seniman terhadap material semula jadi yang menjadi identiti negeri ini,”kata kenyataan itu.

Katanya, setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja menampilkan nilai estetika yang tinggi, malah turut mengangkat naratif berkaitan alam, budaya, sejarah serta hubungan manusia dengan persekitaran.

“Selain membuka dimensi baharu dalam interaksi estetik terhadap sumber alam semula jadi, program ini turut berpotensi memperkukuh sektor pelancongan seni dan budaya serta memperkenalkan identiti seni tempatan yang unik kepada masyarakat
dan pelancong, khususnya di Perak.

“Karya-karya yang dihasilkan menerusi program ini dijangka menjadi antara tarikan apabila Balai Seni Negara Cawangan Ipoh akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

“Ia sekali gus akan memberi peluang kepada masyarakat dan pencinta seni untuk mendekati keunikan seni arca tempatan dengan lebih dekat,”katanya lagi.

Ujarnya, inisiatif seperti ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan seni arca tempatan di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab seni visual yang progresif dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Balai Seni Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini.

“Tahniah juga diucapkan kepada para seniman yang berjaya menampilkan karya karya berkualiti dan penuh nilai kreativiti dalam memperkasa medium arca pualam sebagai manifestasi seni visual kontemporari negara, ”tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai dan peminat seni arca boleh melayari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran di media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Cawangan Ipoh.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat