Kor Ming kaitkan PRN Johor dengan pembebasan Najib – MCA ingatkan prinsip pengasingan kuasa

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming dilihat cuba mengitar semula isu lama dan mengelirukan rakyat apabila mengaitkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hukuman penjara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, ketika berucap di hadapan masyarakat Cina di Jelapang, Perak Kor Ming mendakwa kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor akan membawa kepada pembebasan Najib.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan Neow Choo Seong ingin bertanya kepada Kor Ming, yang juga merupakan seorang Menteri Persekutuan, adakah beliau benar-benar memahami dan menghormati prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas kepada sistem demokrasi serta pentadbiran negara?

“Jika beliau benar-benar percaya bahawa kemenangan BN dalam sebuah pilihan raya negeri boleh membawa kepada pembebasan Najib, maka rakyat berhak bertanya adakah beliau sedang memberi gambaran bahawa wujud campur tangan politik terhadap institusi kehakiman?

“Jika itulah maksud kenyataannya, adakah beliau secara tidak langsung sedang menuduh Kerajaan Madani mencabuli prinsip pengasingan kuasa dan menyalahgunakan kuasa untuk mempengaruhi proses perundangan serta keputusan mahkamah?

“Sebagai seorang anggota Kabinet Persekutuan, apakah pendirian Kor Ming sekiranya benar berlaku campur tangan politik atau salah guna kuasa dalam urusan kehakiman? Adakah beliau akan tampil mempertahankan kebebasan institusi negara, atau sekadar menggunakan naratif sedemikian sebagai bahan kempen politik untuk menakut-nakutkan pengundi? soal Choo Seong.

Hakikatnya kata beliau, sistem kehakiman negara berfungsi secara bebas dan berasingan daripada pentadbiran kerajaan negeri mahupun negara.

“Mengaitkan keputusan PRN Johor dengan nasib seseorang yang sedang menjalani proses perundangan bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi mengelirukan rakyat serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti institusi kehakiman.

“Persoalan lain yang juga wajar dijawab ialah mengapa kenyataan tersebut disampaikan hanya dalam bahasa Mandarin dan di hadapan masyarakat Cina di Perak?

“Rakyat semakin matang dalam menilai politik. Mereka mampu membezakan antara hujah yang berasaskan fakta dengan retorik politik yang sengaja dimainkan untuk menimbulkan ketakutan, prasangka atau kebencian demi meraih sokongan.

“Jika DAP ingin berkempen dalam PRN Johor, saya sarankan mereka supaya berkempen secara matang, berhemah dan berasaskan isu-isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

“Sekiranya mahu berbahas mengenai dasar, ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan atau masa depan negara, saya sentiasa bersedia. Rakyat mahukan budaya politik yang sihat, membina dan berteraskan fakta.

“Biarlah rakyat Johor membuat penilaian berdasarkan rekod, prestasi dan tawaran yang dikemukakan, bukannya melalui propaganda atau momokan politik yang tidak berasas,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat