Maya idam watak pahlawan seksi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memiliki seraut wajah yang boleh mencorak pelbagai karakter menjadi kelebihan aktres jelita, Maya Karin, 43.

Wajah wanita berdarah kacukan Melayu-Jerman boleh berubah-ubah mengikut solekan. Wajahnya boleh kelihatan seperti wanita Cina dan India, jika mewarnakan rambut pula wajah berubah seperti Minah Salleh.

Malah, Aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun itu juga boleh menghidupkan watak wanita Melayu Klasik dengan solekan.

Selepas 23 tahun mengabdikan diri sebagai anak wayang, pelbagai karakter dalam genggaman Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke.

Lebih manis, pelbagai karakter mengangkat nama Maya menjadi antara aktres terbanyak memenangi trofi terbaik dan popular di Malaysia dan antarabangsa.

Namun, jauh di sudut hati, aktres yang meledak menerusi filem seram seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu dan Munafik 2 itu menyimpan impian membawa watak pahlawan wanita mahupun legenda.

Jika diberikan peluang, wanita kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu mahu melakonkan watak pahlawan wanita seperti Xena: Warrior Princess dan watak legenda seperti Mahsuri.

“Saya suka watak Tun Teja, malah, saya inginkan membawa watak Mahsuri. Dari dahulu, saya impikan melakonkan watak Mahsuri disebabkan kisah di sebaliknya amat menyentuh hati.

“Namun, jujurnya, watak yang diidamkan dan belum saya dapat direalisasikan lagi adalah watak pahlawan seperti Xena.

“Watak wanita lasak, tetapi seksi. Saya percaya jalan cerita epik pastinya menyeronokkan, apatah lagi, saya suka kisah sejarah, tak kira dalam bentuk buku mahupun filem.

“Saya sedar filem epik amat mahal untuk diterbitkan. Rasanya belum ada lagi naskhah epik Malaysia selepas filem Puteri Gunung Ledang yang diterbitkan lebih 20 tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

 

Maya ingin melakonkan watak pahlawan wanita seperti Xena: Warrior Princess dan legenda seperti Mahsuri.
Maya ingin melakonkan watak pahlawan wanita seperti Xena: Warrior Princess dan legenda seperti Mahsuri.

 

Namun begitu, katanya, dia berbangga apabila filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof pecah panggung, sekali gus melakar sejarah baharu menjadi filem terlaris sepanjang zaman apabila mengutip lebih RM90 juta.

“Filem Mat Kilau umpama pembuka jalan dan membuktikan karya epik tidak ditolak penonton.

“Siapa sangka, ramai sukakan genre epik dan sejarah. Namun, pembikinannya pula memakan belanja yang sangat mahal,” katanya.

Aktres yang baru diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem & TV Ramsgate, England pada 2020 menerusi filem Olympic Dream itu berkata, dia menyambutnya dengan tangan terbuka sekiranya diberikan peluang menjayakan watak dalam filem epik.

Maya mengakui, dia bertuah memiliki seraut wajah yang membolehkannya menghidupkan pelbagai karakter.

“Solekan memainkan peranan besar dalam mengubah wajah seseorang pemain.

“Saya bukan hanya boleh dilihat sebagai wanita Cina, India atau Minah Salleh, malah, boleh berubah menjadi wajah Melayu klasik jika didandan.

“Saya sememangnya bertuah, Alhamdulillah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem Ombak Rindu itu berkata, dia akan tampil buat kali pertama menerusi filem Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof.

 

Maya bergandingan dengan Zizan menerusi filem terbaharu, Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof.
Maya bergandingan dengan Zizan menerusi filem terbaharu, Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof.

 

Menghidupkan watak antagonis menerusi filem terbitan Skop Production Sdn Bhd itu, Maya ternyata seronok menimba pengalaman dengan pengarah muda dan berbakat besar seperti Syafiq.

“Ia satu pengalaman menarik dapat bekerja dengan Syafiq. Sebelum ini, saya pernah bekerja dengan abangnya, Syamsul.

“Jujurnya, saya dapat melihat cara kerja dan sentuhan adik abang ini sebagai pengarah.

“Personaliti Syamsul dan Syafiq agak berbeza. Syafiq, mudah bekerjasama dan seorang ‘soft spoken’. Belum pernah saya melihat Syafiq melenting atau naik suara, jadi, saya langsung tidak tertekan bekerja dengannya.

“Bekerja dengan Syafiq agak fleksibel. Ini kerana Syafiq boleh bertukar idea secara tiba-tiba, tetapi bertanya kami dahulu sama ada boleh atau tidak.

“Kami sering bertukar pandangan ketika di lokasi. Syafiq senang bertolak ansur, manakala, Syamsul pula seorang yang ‘outgoing’ dan berterus terang.

“Jadi, saya boleh katakan Syamsul agak tegas,” katanya diberikan peranan utama dalam filem Munafik 2 bersama Syamsul.

Filem Abang Long Fadil 3 bakal menemui penonton pada 8 September depan.

Selain Maya, filem terbitan Skop Production itu juga dibintangi oleh Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Datuk AC Mizal, Shuib Sepahtu, Kazar Saisi, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat