Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Seramai 150 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah menyertai Program Kanvas Keselamatan Negara 2026 yang berlangsung di Lorong Selamat dekat sini, baru-baru ini.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 17 anak muda kreatif yang terdiri daripada gandingan pensyarah dan pelajar POLIMAS telah membuktikan kepakaran mereka apabila berjaya menterjemahkan mesej kedaulatan negara ke dalam bentuk seni visual berimpak tinggi.
Program ini berjaya menampilkan kolaborasi seni luar biasa berskala besar yang menggabungkan kreativiti institusi pengajian tinggi tempatan.
Kumpulan belia Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mendedikasikan tenaga sepanjang lapan hari bermula 10 Mei lalu untuk mengerah idea pada satu dinding khas di Lorong Selamat.
Pensyarah Penyelaras daripada POLIMAS, Ts. Nadia Che Abd Rani melahirkan rasa bangga yang amat mendalam terhadap komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajarnya sepanjang program ini berlangsung.
Ts.Nadia berkata, komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh para pelajar sepanjang lapan hari, membuktikan bahawa golongan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mampu menyumbang khidmat bakti yang besar kepada komuniti.
“Melalui karya seni visual ini, mereka berjaya menyebarkan mesej keselamatan negara dengan cara yang sangat kreatif dan dinamik,” katanya lagi.
Wakil peserta POLIMAS, Muhammad Daniel Ezairy Mohd Yusri, menyifatkan program ini sebagai satu peluang keemasan untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Kami mahu setiap goresan berus di dinding ini menceritakan peri pentingnya menjaga keharmonian negara. Seni ialah bahasa universal, dan menerusi mural ini.
“Kami berharap mesej ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ dapat menyerap terus ke dalam jiwa setiap pengunjung yang melalui lorong ini,”katanya.
Bagi Nurul Naqiyah Abdul Halim, penglibatannya dalam projek ini bukan sekadar menguji bakat seni, malah berjaya menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air dalam kalangan mahasiswa.
“Mewarnakan dinding di ruang awam yang bakal menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2026 memberi satu kepuasan yang luar biasa.
“Ia mengajar kami bahawa tanggungjawab mempertahankan negara boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk, termasuklah melalui sumbangan bakat dan kreativiti belia,”katanya dengan penuh semangat.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta penajaan Syarikat Alatmart ini diwujudkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan program tahun lalu.
Di samping kumpulan belia POLIMAS, kekuatan utama program ini turut digerakkan oleh pelajar daripada SCIMPA, UUM yang memamerkan bakat seni mereka menerusi penghasilan mural kreatif di lima buah dinding utama di kawasan berkenaan.
Majlis perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan dengan gilang-gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, bersempena dengan sambutan Hari Belia Negeri Kedah.
Turut hadir, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Ketua Penolong Pengarah MKN Kedah, Mohd Zulhilmi Zulkifly yang mewakili Pengarah Keselamatan Negeri Kedah; Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah; Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah, Dato’ Zepri Saad; dan Exco Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din.
Sumbangan padu daripada para pelajar IPT ini bukan sahaja berjaya mengubah wajah estetika Bandaraya Alor Setar menjadi destinasi pelancongan bandar yang ikonik.
Selain itu, meletakkan satu penanda aras baharu bagi penglibatan belia dalam agenda keselamatan komuniti sempena Sambutan Bulan Keselamatan Negara Julai ini.-SUARA.TV



