ALOR GAJAH, 5 Jun– Suasana tegang dilaporkan berlaku di Hotel Park Royal A Famosa apabila usaha anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) untuk mengadakan pertemuan dengan YAM Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dihalang pihak polis.
Difahamkan, beberapa anggota DKU yang hadir ke hotel berkenaan bagi tujuan pertemuan tersebut tidak dibenarkan melepasi kawalan polis yang ditempatkan di lokasi.
Tindakan itu menimbulkan suasana tegang apabila anggota DKU mempersoalkan alasan mereka dihalang daripada bertemu Tunku Nadzaruddin.
Menurut maklumat di lokasi, pihak polis enggan memberikan justifikasi undang-undang yang jelas berhubung tindakan menghalang pertemuan berkenaan walaupun diminta berbuat demikian.
Insiden tersebut berlaku beberapa jam selepas Mesyuarat Khas DKU selesai berlangsung di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin, yang menjadi tumpuan susulan krisis perlembagaan yang sedang melanda Negeri Sembilan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada tindakan kawalan polis itu dibuat atas arahan tertentu atau berdasarkan pertimbangan keselamatan.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung insiden tersebut ketika berita ini ditulis.
Perkembangan itu menambahkan lagi perhatian terhadap siri peristiwa yang berlaku hari ini, dengan pelbagai pihak kini menunggu penjelasan rasmi berhubung keputusan Mesyuarat Khas DKU serta langkah-langkah susulan yang bakal diambil.


