Asyraf Tak Terlibat Pertemuan Empat Mata Presiden, Timbalan Presiden Umno-PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari tampil mempertahankan Presiden dan Timbalan Presiden PAS dengan mengemukakan fakta balas terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Fadhli menyenaraikan fakta dan kronologi pertemuan pucuk pimpinan PAS dan Umno yang berlangsung pada Rabu, 12 Oktober 2022.

“Saya terpanggil untuk menulis sedikit berhubung pertemuan PAS – Umno baru-baru ini yang menjadi sedikit polemik. Sehingga ada yang mencari siapa pembohong dan siapa menipu.

“Selaku ketua sayap pemuda, walaupun saya tidak terlibat dalam perbincangan-perbincangan ini, tetapi semua butiran A-Z dimaklumkan kepada kami ahli Jawatankuasa Harian PAS. Ia dimaklumkan sejurus berakhir mana-mana perbincangan, tiada yang disembunyikan,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyenaraikan tujuh fakta bagi memperincikan butir pertemuan tersebut hingga membawa kepada terlerainya ikatan Umno dan PAS yang dijalin dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

“Pertemuan Presiden dan Timbalan Presiden Umno bersama Presiden dan Timbalan Presiden PAS, telah berlangsung pada Rabu 12 Oktober. Hanya empat pemimpin ini sahaja yang terlibat dalam perbincangan.

“Ditularkan gambar tujuh orang yang hadir. Sedangkan gambar di meja makan tersebut adalah ketika tetamu sampai, semuanya duduk berbual sekitar 10 minit.

“Selepas itu tiga orang yang lain pun beredar, tinggal lah empat orang pimpinan – Presiden dan Timbalan Presiden PAS dan Umno, berbincang sekitar satu jam. Kekanda saya Asyraf juga berada di luar sepanjang perbincangan,” jelas Ahmad Fadhli.

Beliau berkata, hadirnya Presiden PAS adalah untuk menyelami hati budi Umno, dan mendengar apakah syarat-syarat yang bakal diletakkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala katanya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan.

“Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan. Namun tempoh singkat diberikan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk memuktamadkan keputusan, iaitu Jumaat 14 Oktober (dua hari).

“Esoknya Khamis 13 Oktober, Mesyuarat PAS Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal Perdana Menteri. Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum – apakah maslahahnya, apakah mudaratnya. Yang timbul adalah soal nasib – bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena ‘charge’ esok, siapa kena ‘charge’ lusa) – tetapi nasib agama, bangsa, dan negara.

“Usai musyawarah hampir empat jam, maka keputusan muktamad telah dicapai. Dipersetujui, diperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) hadapi PRU, penyatuan ummah yang terbuka tetap diteruskan. Objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara, daripada terjarah di bawah Pakatan Harapan (PH) yang lebih besar mudaratnya.

“Sekianlah sedikit fakta untuk diperbetulkan, bagi menjernihkan sedikit kekeruhan yang diperlihatkan.Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Biduk lalu, kiambang bertaut.

“Saya bersaksi bahawa, Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS telah bercakap benar, tidak berbohong, dan tidak pernah memungkiri janji,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat