KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perlis tegas untuk kekal di bawah Perikatan Nasional (PN) dan terus mentadbir Perlis sehingga tamat tempoh penggal pilihan raya.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata, ketetapan itu diambil bagi menjunjung titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu pentadbiran kerajaan negeri diteruskan tanpa sebarang spekulasi atau keputusan yang boleh merugikan rakyat.
Beliau berkata, mandat yang diterima pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah daripada rakyat melalui tiket PN, bukan atas kapasiti Pas atau Bersatu secara bersendirian.
“Biar apa pun yang berlaku membabitkan Pas, Bersatu dan komponen lain, kita akan kekal tenang bersama PN. Mandat ini kita dapat daripada rakyat Perlis melalui PN, jadi kita ambil ketetapan untuk sentiasa kekal bersama gabungan ini.
“Saya tidak akan buat sebarang spekulasi atau apa juga keputusan yang boleh merugikan rakyat. Titah Tuanku adalah supaya kita habiskan tempoh (penggal) ini yang berbaki sehingga 30 Disember 2027,” katanya menurut BH di Kangar pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pengamal media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra.
Mengulas mengenai desas-desus keputusan Pas Pusat berhubung status kerjasama dengan Bersatu yang dijangka diputuskan minggu hadapan, Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi tetap berpendirian untuk terus istiqamah mempertahankan keutuhan kerajaan negeri di bawah bendera PN.
“Sama ada wujud permintaan supaya Bersatu keluar atau timbul masalah lain, kita akan buat keputusan apabila ia berlaku kelak. Namun bagi saya, saya kekal tenang bersama PN sehingga habis tempoh.
“Kita tidak menafikan ada beberapa kelemahan sama ada di pihak Bersatu mahupun Pas. Tetapi jika kita terus bercakaran, kita yang akan rugi kerana saya nampak PN kini sudah mula mendapat nadi untuk digerakkan bagi memenangi pilihan raya,” katanya.
Menurut Abu Bakar lagi, pentadbiran Perlis juga akan terus bergerak seiring bersama kepimpinan negeri-negeri di bawah gabungan ‘State Government 4’ (SG4) yang turut merangkumi Kelantan, Terengganu dan Kedah.



