Pemuda Pas kesal Bersatu tak mengaku jatuhkan MB Pas Perlis, panjangkan kemelut PN

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Perlis Haziq Asyraf Dun akui kesal dengan tindakan Bersatu yang terus-menerus menafikan peranan Adun-Adun mereka dalam merancang usaha menjatuhkan Menteri Besar Perlis daripada Pas.

Menurut beliau, penafian berulang kali terhadap fakta yang telah direkodkan hanya akan memanjangkan kemelut dalam Perikatan Nasional (PN).

“Demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerjasama politik yang dibina atas dasar kejujuran dan amanah, semua pihak seharusnya berani berterus terang serta bertanggungjawab terhadap tindakan yang telah dilakukan,” tegasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Haziq Asyraf berkata demikian merujuk kepada kenyataan Biro Politik Bersatu bertarikh 24 Mei 2026 yang mendakwa tuduhan bahawa Adun-Adun Bersatu telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis daripada Pas adalah tidak benar.

“Kenyataan penafian tersebut turut disusuli oleh beberapa pimpinan Bersatu yang menegaskan bahawa Adun-Adun Bersatu tidak pernah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi tujuan menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas.

“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan bercanggah dengan pengakuan yang telah dibuat sendiri oleh tiga Adun Pas yang kemudiannya terhenti keahlian,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Haziq Asyraf berkata, dalam satu pertemuan bersama Dewan Harian Pas Pusat pada 21 Disember 2025 yang turut dihadiri oleh semua Adun Pas Perlis, tiga ADUN terbabit secara terbuka mengakui bahawa mereka telah menandatangani SD bersama Adun-Adub Bersatu.

“Pengakuan tersebut bukan sahaja didengari oleh para hadirin, malah telah direkod dan diminitkan dalam perbincangan tersebut.

“Justeru, adalah menghairankan apabila Bersatu terus memilih untuk menafikan perkara yang telah diakui sendiri oleh individu-individu yang terlibat secara langsung dalam usaha tersebut.

“Dewan Pemuda PasbPerlis berpegang kepada fakta dan rekod yang wujud.

“Isu ini bukan lagi soal persepsi atau dakwaan politik, tetapi berkaitan pengakuan yang telah dibuat dalam satu pertemuan rasmi,” kata Adun Beseri itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat