Cukup setakat perlindungan, Rohingya tak layak tuntut hak warganegara, penempatan di Malaysia – Nurulhidayah

KUALA LUMPUR – Tuntutan pelarian Rohingya yang mendesak Malaysia supaya memberikan penempatan tetap kepada etnik yang hilang kewarganegaraan di Myanmar dianggap sebagai tidak wajar kerana telah menyentuh soal kedaulatan negara.

Exco Wanita Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid mengingatkan, pelarian Rohingya itu boleh memohon perlindungan dan bantuan, tetapi keputusan sama ada mahu memberikan status kekal atau tidak, menjadikan ia satu keputusan yang besar untuk kerajaan Malaysia dengan mengambil kira kegusaran atau kebimbangan rakyat Malaysia secara menyeluruh.

“Jika benar terdapat tuntutan yang berbentuk “Malaysia wajib memberikan penempatan tetap kepada Rohingya”, maka tuntutan itu dianggap tidak wajar kerana, pendapat peribadi saya, ia telah menyentuh soal kedaulatan negara.

“Mereka boleh memohon perlindungan dan bantuan, tetapi keputusan sama ada mahu memberikan status kekal atau tidak, menjadikan ia satu keputusan yang besar untuk Kerajaan Malaysia dengan mengambil kira kegusaran atau kebimbangan rakyat Malaysia secara menyeluruh.

“Bersimpati kepada penderitaan Rohingya adalah sifat kemanusiaan yang wajar. Tetapi mempertahankan hak Malaysia dan menentukan siapa yang boleh menetap secara kekal di negara ini adalah satu isu kedaulatan negara yang penting,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Anak sulung Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian mengulas satu poster media sosial kononnya Presiden Rohingya Malaysia berkata, “kami tak minta banyak, cukuplah Selayang untuk kami”.

“Pendapat saya, pandangan daripada dua lensa yang berbeza. Pertama, lensa kemanusiaan dan kedua, lensa kedaulatan negara.
Dari sudut kemanusiaan, tidak dapat dinafikan bahawa ramai etnik Rohingya menjadi mangsa penindasan, peperangan dan kehilangan kewarganegaraan di Myanmar. Sebagai manusia dan sebagai umat Islam, rasa simpati terhadap penderitaan mereka adalah sesuatu yang wajar. Mereka berhak mendapat perlindungan asas, bantuan makanan, kesihatan dan keselamatan daripada ancaman nyawa.

“Namun, dari sudut kedaulatan negara, tiada mana-mana kumpulan pelarian mempunyai hak untuk menuntut penempatan tetap atau kewarganegaraan di sesebuah negara. Itu adalah hak eksklusif sesebuah kerajaan untuk memutuskan berdasarkan undang-undang, kapasiti ekonomi, keselamatan dan kepentingan rakyat tempatan.

“Malaysia selama ini telah menunjukkan sikap yang agak terbuka berbanding banyak negara lain dengan menerima kehadiran pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

“Tetapi bantuan kemanusiaan tidak semestinya bermaksud, hak kewarganegaraan atau hak untuk menuntut mana-mana penempatan khusus untuk pelarian ini.

“Rata-rata Rakyat Malaysia mempunyai kebimbangan mengenai tekanan terhadap kemudahan awam, persaingan pekerjaan berpendapatan rendah, isu keselamatan dan jenayah yang melibatkan kumpulan tertentu serta beban sosial yang perlu ditanggung kerajaan.

Menurut Nurulhidayah lagi, penulisan ini bukan untuk menimbulkan sentimen kebencian, tetapi saya mewakili rakyat Malaysia yang berhak untuk bertanya sejauh mana kemampuan negara menanggung implikasi jangka panjang terhadap sesuatu dasar penempatan pelarian, wajar difikirkan.

“Politik, politik juga. Jangan sampai kita dijajah lagi secara halus atas sentimen agama dan kemanusiaan. Buat baik berpada-pada,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat